Penyokong di stadium naikkan gambar samakan raja Salman dengan Trump

Penyokong di stadium naikkan gambar samakan raja Salman dengan Trump

Ia mengundang bantahan duta Arab Saudi ke Algeria.

trump-salman
PETALING JAYA:
Arab Saudi merasa tidak senang selepas penunjuk perasaan pro-Palestin dari Algeria mengangkat kain rentang memaparkan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dan Raja Salman sebagai “sehati sejiwa”, menurut laman Step Feed yang melaporkan perkembangan semasa dunia Arab.

Protes itu berlaku ketika perlawanan bola sepak Sabtu lalu di mana penyokong kelab Algeria, Ain Melilla, mengangkat kain rentang besar memaparkan wajah yang terbahagi dua, separuh wajah raja Saudi dan separuh lagi wajah presiden AS, berserta gambar Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis.

“Kami akan siasat keaslian gambar ini dan ambil tindakan sewajarnya,” kata duta Saudi ke Algeria, Sami bin Abdullah al-Saleh, seperti dilaporkan agensi berita Turki, Anadolu.

Protes itu susulan keputusan Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dengan memindahkan kedutaan AS dari Tel Aviv ke kota suci itu.

Media Saudi menyifatkan gambar bantahan tersebut yang dikongsi meluas di media sosial, sebagai menghina raja tersebut.

Bantahan itu juga berlaku sebaik sahaja pengerusi Majlis Syura Saudi, Abdullah bin Mohammed bin Ibrahim al-Sheikh, tiba di Algeria untuk berbincang hubungan dua hala.

Raja Salman merupakan sekutu kuat Washington di Timur Tengah.

Arab Saudi sebelum ini hanya menghantar menteri berpangkat rendah ke persidangan tergempar negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Istanbul, Turki, bagi membincangkan langkah Trump itu.

Semalam, semua anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menentang keputusan Trump itu, kecuali AS yang menggunakan kuasa vetonya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.