
“Laporan NST itu mengesahkan kecurigaan terhadap pakatan sulit pihak berkuasa, dan paling mengejutkan, siasatan yang cuba menutup keburukan dan pendakwaan sambil lewa terhadap beberapa warga asing,” kata Lawyers for Liberty (LFL) dalam kenyataan.
“Memandangkan pendedahan itu, persoalan yang mesti ditanya ialah mengapa ada cubaan menyembunyikan kebenaran dan pihak berkuasa cuba melindungi siapa?”
NST hari ini melaporkan siasatan 2 tahun oleh sepasukan wartawan mereka mendedahkan pihak berkuasa cuba menangguhkan pengumuman tentang penemuan kubur beramai-ramai selama kira-kira 4 bulan.
NST melaporkan polis juga membersihkan kawasan di mana kubur ditemui sehingga membinasakan pelbagai bukti jenayah.
Penemuan kubur 130 mayat mangsa pemerdagangan manusia diumumkan pada Mei 2015 oleh ketua polis negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
Pengumuman itu menyusuli penemuan kubur beramai-ramai di Thailand, yang membawa kepada operasi besar-besaran polis Thai ke atas rangkaian pemerdagangan manusia.
Namun menurut NST, polis Malaysia tahu mengenai kubur beramai-ramai di kawasan hutan di sempadan Thailand-Malaysia seawal Januari 2015.
“Mengapa polis mengarahkan kawasan itu dimusnahkan, yang berpotensi menjadi tempat kejadian jenayah, sebelum ia diproses forensik?” soal akhbar itu.
LFL berkata laporan itu tidak mengejutkan, dan berkata Malaysia tidak menyiasat kes itu dengan baik, berbanding Thailand yang sudah mendakwa dan mensabitkan 62 orang termasuk pegawai kanan tentera.
“Laporan itu mengesahkan dakwaan gerakan sivil selama ini, iaitu kerajaan tidak bersungguh membanteras pemerdagangan manusia dan sekadar bercakap kosong dan tidak berusaha mencapai kedudukan hak asasi manusia yang lebih baik,” kata Pengarah Eksekutif Eric Paulsen.
“Meskipun terdapat laporan yang boleh dipercayai, pihak berkuasa Malaysia menafikan kewujudan aktiviti pemerdagangan manusia.”
Beliau berkata kerajaan mesti menubuhkan satu RCI “yang boleh dipercayai” dan “menangani pemerdagangan manusia zaman moden”.
“Oleh itu, kerajaan mesti menunjukkan iltizam politik untuk bertindak dan mempertanggungjawabkan semua yang terlibat, tanpa mengira jawatan, status atau hubungan,” kata Paulsen, yang turut mempersoalkan keputusan Jabatan Negara Amerika Syarikat menaiktaraf kedudukan pemerdagangan manusia Malaysia ke Tier 2.
“Malaysia harus diturunkan semula ke Tier 3 iaitu kedudukan terendah bagi kerajaan yang gagal memenuhi piawaian minimum dalam usaha membanteras pemerdagangan manusia dan tidak berusaha secukupnya,” tambahnya.