Zahid: Kes bunuh-gilis JB akibat salah faham 2 geng kongsi gelap

Zahid: Kes bunuh-gilis JB akibat salah faham 2 geng kongsi gelap

Timbalan perdana menteri berkata, mangsa dan 4 suspek itu disahkan daripada 2 kumpulan kongsi gelap berbeza.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang mediannya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN)
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sidang mediannya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN)
PUTRAJAYA:
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejadian sekumpulan lelaki menikam dan menggilis seorang mangsa sehingga mati di sebuah stesen minyak di Johor Bahru, Ahad lalu, berpunca daripada perselisihan faham antara 2 kumpulan kongsi gelap.

Timbalan perdana menteri berkata, mangsa dan 4 suspek yang sudah dikenal pasti polis terlibat berasal daripada 2 geng kongsi gelap berbeza.

“Yakin ada perselisihan antara 2 kumpulan berkenaan. Ini satu perbuatan jenayah yang telah tular dan polis sedang jejaki dan buru keempat-empat mereka.

“Mereka tidak akan terlepas daripada tindakan polis,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata, polis akan terus memburu 4 suspek terbabit dalam pembunuhan itu dan memastikan mereka tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.

Katanya, polis bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan berlaku tindakan balas dendam antara 2 kumpulan terbabit.

“Semua kumpulan kongsi gelap dan pertubuhan haram yang langgar mana-mana akta akan kita pastikan diambil tindakan.

“Kita serius dalam menjejaki mana-mana kumpulan kongsi gelap.”

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam Ahad lalu, mangsa berusia dalam lingkungan 30-an mati selepas ditikam dan digilis sebuah kereta jenis BMW yang dinaiki sekumpulan 4 lelaki.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa bersama seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya sedang mengisi angin tayar kereta di sebuah stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi, Johor Bahru.

Semalam, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd dilaporkan berkata, identiti 4 suspek sudah dikenal pasti dan mereka giat mengesan kumpulan itu.

Beliau berkata, bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat tikaman dan hasil siasatan mendapati kereta BMW 520i yang dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu.

“Pemilik asal berjaya dikesan dan setelah ditemu bual, kami dapati beliau tiada kaitan dengan kes ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.