Ratu England, Pope antara penerima kad Krismas dari imam London

Ratu England, Pope antara penerima kad Krismas dari imam London

Mohammed Fahim berkata dia menerima banyak maklum balas luar biasa dan komen yang menarik termasuk daripada Ratu Elizabeth dan Pope Francis.

kad
PETALING JAYA: Seorang imam di London yang mahu menonjolkan betapa pentingnya Nabi Isa di sisi orang Islam menghantar ribuan kad Krismas berunsurkan Islam ke seluruh dunia sejak hampir sedekad lalu.

Dr Mohammed Fahim dari Qur’ani Murkuz Trust di timur London menghantar kad yang direka khas kepada semua orang termasuk Ratu England, Ratu Elizabeth dan Pope Francis dalam usaha menyerlahkan peranan Isa sebagai nabi menurut kepercayaannya.

Kad dicetak dengan pemandangan Baitulmaqdis dan petikan ayat Al-Quran yang menceritakan tentang mukjizat Nabi Isa dan ibunya, Maryam.

“Hampir 10 tahun lalu, saya membuat keputusan mencipta kad Krismas khas yang menceritakan kisah Maryam dan Nabi Isa daripada Al-Quran. Saya mencetak kira-kira 4,000 kad setiap tahun,” katanya memetik laporan portal berita, News Sky.

Kad dihantar kepada kerabat diraja, ahli parlimen, gereja, jiran tetangga, rakan sekerja, Pope dan semua pemimpin Kesatuan Eropah.

“Saya menerima banyak maklum balas luar biasa dan komen yang menarik.

“Saya amat terkejut dan berbangga apabila ratu, perdana menteri dan Pope memberi maklum balas kepada kad saya setiap tahun.”

Fahim berkata umat Islam percaya kepada mukjizat Nabi Isa dan kemunculan semula pada akhir zaman.

“Umat Islam percaya kepada semua nabi dan utusan Allah tanpa membuat perbandingan antara mereka seperti yang diceritakan melalui Al-Quran.

“Jadi, jika mereka percaya kepada Muhammad dan Isa, kenapa mereka merayakan kelahiran Muhammad, dan bukannya kelahiran Isa? Raikan mereka, maksud saya dengan menjejaki, mempelajari cara hidup, pengorbanan besar serta warisan yang mereka tinggalkan.”

Pemimpin agama juga berharap dapat menghilangkan salah faham tentang Islam serta menggalakkan lebih ramai umat Islam merayakan dan mengkaji kisah Krismas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.