
Mereka melahirkan kebimbangan kes itu akan hanya menyukarkan usaha membanteras masalah disiplin di sekolah.
Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan Taman Semarak di Nilai, Negeri Sembilan berkata guru tersebut, Azizan Manap, terpaksa bertegas dengan pelajar tesebut yang didakwa terbabit berulang kali dalam perbuatan menghidu gam, bergaduh dan membuli.
“Tujuan cikgu tersebut adalah untuk mendidik, PIBG risau jika sikap segelintir ibu bapa seperti ini akan menyebabkan kes displin akan menjadi lebih parah dan merebak di kalangan murid-murid SK Taman Semarak akibat KETAKUTAN DAN KERISAUAN cikgu-cikgu untuk membentuk disiplin anak-anak SK Taman Semarak selepas ini,” menurut mesej di aplikasi Telegram oleh Yang Dipertua PIBG sekolah itu.
Menurutnya, kehadiran ramai untuk pendengaran kes esok adalah “merit terpenting” untuk memastikan kemenangan kepada “Cikgu Azizan”.
Azizan merupakan penolong kanan Hal Ehwal Pelajar di sekolah tersebut.
Oktober lalu, beliau dihadapkan di mahkamah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas tuduhan memukul seorang pelajar. Jika disabit, Azizan boleh dihukum setahun penjara, denda RM2,000 atau kedua-dua sekali.
Penyokong Azizan turut melancarkan kempen di media sosial dengan hashtag “PrayForCikguAzizan”.
Kempen itu turut menerima sokongan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang turut mengajak guru berhimpun di mahkamah esok, di samping menyediakan peguambela untuk Azizan.