Derma RM2.6 bilion: Zaid, Khairuddin gagal semak keputusan mahkamah

Derma RM2.6 bilion: Zaid, Khairuddin gagal semak keputusan mahkamah

Mereka memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan pada 28 Julai lalu menolak permohonan mencabar keputusan peguam negara menutup siasatan ke atas derma RM2.6 bilion didakwa diterima Najib.

Zaid-Ibrahim-Khairuddin-Abu-Hassan-mahkamah
PUTRAJAYA: Bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ibrahim dan bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan hari ini gagal dalam permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak permohonan bagi kebenaran untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan menutup siasatan berkaitan derma RM2.6 bilion.

Panel 3 hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin menolak permohonan Zaid dan Khairuddin untuk menyemak keputusan Mahkamah Persekutuan terdahulu yang menolak rayuan mereka untuk kebenaran merayu bagi mencabar keputusan peguam negara menutup siasatan.

Hakim Zulkefli berkata, tiada merit dalam permohonan itu kerana ia tidak tertakluk di bawah prinsip dan skop Aturan 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995.

“Kami berpendapat bukan tanggungjawab panel ini untuk menimbangkan sama ada panel terdahulu mahkamah ini (Mahkamah Persekutuan) telah atau tidak membuat keputusan betul.

“Oleh itu, kami berpendapat tidak perlu memutuskan sama ada terdapat bahaya berat sebelah yang nyata dan isu ini telah didengar dan diputuskan panel terdahulu,” kata Zulkefli yang bersidang bersama hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah dan Tan Sri Aziah Ali.

Panel membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Zaid dan Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Khairuddin, sementara Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Amarjeet Singh mewakili peguam negara.

Kedua-dua mereka memfailkan permohonan bagi menyemak keputusan panel terdahulu Mahkamah Persekutuan pada 28 Julai diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif yang menolak permohonan Majlis Peguam, Zaid dan Khairuddin bagi kebenaran untuk mencabar keputusan peguam negara menutup siasatan berhubung derma RM2.6 bilion yang dikatakan dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Raus juga menolak permohonan mereka supaya beliau menarik diri daripada mendengar kes itu dan sebarang keputusan dibuat berdasarkan fakta di depan mahkamah dan undang-undang.

Terdahulu, Gopal berhujah terdapat bahaya nyata berat sebelah pada Raus yang mendengar kes itu kerana beliau dilihat menghadiri satu majlis peribadi perdana menteri untuk acara keagamaan 5 hari sebelum prosiding memohon kebenaran itu didengar.

“Ini adalah majlis peribadi dan tidak ada hakim lain yang hadir. Ia tidak memberi tanggapan baik kepada badan kehakiman,” katanya.

Amarjeet berhujah ketua hakim negara tidak menghadiri majlis peribadi, sebaliknya ia majlis keagamaan.

Beliau berkata, permohonan itu tidak tertakluk di bawah skop Aturan 137 dan mahkamah harus menolaknya kerana ia tidak mempunyai kemuktamadan jika mahkamah membenarkan permohonan itu.

Pada 4 April 2017, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 November 2016 yang menolak permohonan Majlis Peguam, Zaid dan Khairuddin bagi semakan kehakiman untuk mencabar keputusan peguam negara.

Pada 2 Februari 2016, Zaid memfailkan permohonan menuntut perintah membatalkan keputusan peguam negara dan memaksanya memulakan prosiding jenayah terhadap perdana menteri mengikut peruntukan Kanun Keseksaan dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Peguam negara pada 26 Januari lalu mendapati tiada kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan SRC International Sdn Bhd dan dakwaan mengenai derma RM2.6 bilion.

Pada 3 Februari 2016, Khairuddin memfailkan permohonan sama untuk mencabar keputusan Apandi yang berpuas hati tiada kesalahan jenayah dilakukan Najib berhubung RM2.6 bilion, pemindahan dana oleh SRC International ke dalam akaun peribadinya dan pinjaman oleh Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) kepada SRC International.

Khairuddind dalam permohonannya, memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan Apandi pada 26 Januari lalu yang membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berkaitan siasatan SPRM mengenai ketiga-tiga isu itu.

Pada Mac 2016, Majlis Peguam turut memfailkan permohonan membatalkan keputusan peguam negara melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan pada 26 Januari lalu, tiada kesalahan jenayah dilakukan najib berkaitan ketiga-tiga kertas siasatan yang diserahkan SPRM kepada peguam negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.