
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri Datuk Tee Siew Kiong berkata pihaknya tidak akan bertolak ansur terhadap pihak peniaga yang berniat jahat dan mahu mengambil kesempatan terhadap pengguna.
“Kerajaan negeri sangat mementingkan hak pengguna kita, terutamanya isu ini melibatkan kesihatan dan keselamatan bayi di mana susu merupakan sumber khasiat paling penting dalam pertumbuhan bayi.
“Susu tepung palsu tidak hanya akan mendatangkan impak kesihatan negatif malah membahayakan nyawa bayi,” kata beliau ketika ditemui di pejabat Adun Pulai Sebatang di Pusat Perdagangan Pontian hari ini.
Justeru itu, beliau berharap pihak peniaga rangkaian kedai runcit dan ubat-ubatan berhati-hati membuat urusan pembelian susu formula bayi dan memastikan membeli bekalan susu sama ada terus dari pengeluar atau dengan agen penjual yang dilantik sah oleh pengeluar atau pengilang susu.
Selain itu, Tee menasihati pengguna mengetahui cara dan memastikan susu formula bayi dibeli adalah asli berdasarkan sesi penerangan dibuat oleh pengeluar produk susu formula yang terlibat.
Menurut beliau, kerajaan negeri menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan terus memantau dan melakukan operasi serbuan secara berterusan bagi mengekang produk disyaki tiruan itu terus dijual di pasaran.
“Saya juga menyeru orang awam membuat laporan terus kepada Pejabat KPDNKK Negeri sekiranya mengesyaki atau mendapati produk tiruan untuk tindakan sewajarnya,” kata beliau.
Tee berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan negeri dalam membanteras aktiviti penjualan susu formula bayi yang disyaki tiruan berikutan rampasan produk berkenaan oleh KPDNKK negeri Khamis lepas.