
Eksekutif pemasaran itu turut berbelanja untuk aksesori telefon bimbit iPhone 6 dan makan di luar kerana tiada masa untuk memasak.
Oleh itu, katanya, beliau jarang ada baki wang untuk dijadikan simpanan, tetapi mengakui wanita itu mengakui mempunyai kecenderungan berbelanja untuk barang tidak diperlukan.
“Saya tidak tahu wang saya ke mana selepas berbelanja. Tetapi, apa yang saya tahu ialah saya tiada wang yang tinggal,” katanya yang mempunyai seorang anak.
Amalan berbelanja melebihi kemampuan itu memaksa Liana meminjam daripada ahli keluarga atau rakan.
Bagaimanapun, beliau asyik menangguhkan pembayaran hutangnya kerana tidak mampu berbuat demikian. Kadangkala, jumlah hutangnya bertambah sehingga RM2,000 sebulan.
Malangnya, kecenderungan Liana berbelanja melebihi kemampuan merupakan masalah yang turut dikongsi ramai rakyat Malaysia yang mungkin menikmati taraf hidup lebih tinggi, tetapi terpaksa menanggung akibat lebih besar.
Seorang perancang kewangan berpengalaman dari MyFP Services Sdn Bhd, Robert Foo berkata, rakyat perlu menguruskan kewangan mereka dengan mengetahui situasi kewangan mereka terlebih dahulu dan matlamat mereka.
“Hanya selepas itu mereka tahu sama ada akan menghadapi masalah atau terselamat dalam proses mencapai matlamat hidup dan kewangan.”
Katanya, sebahagian daripada punca rakyat, khasnya yang berusia 30 tahun ke atas terpaksa berhutang kerana pendapatan mereka tidak dapat menampung apa yang dianggap gaya hidup “normal” pada usia itu.
Jabatan Insolvensi berkata, wujud trend membimbangkan dalam golongan berusia 25 hingga 44 tahun yang merupakan kumpulan terbesar diisytihar bankrap, iaitu hampir 60% daripada 94,408 kes bankrap yang dilaporkan dari 2013 hingga Ogos lalu.
Isnin lalu, Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (Isis) dalam laporannya berkata, rakyat Malaysia secara beransur-ansur beralih kepada pembelian kenderaan asing berbanding kereta nasional, di samping kurang berbelanja ke atas barangan keperluan harian, sebaliknya lebih gemar makan di luar seperti dinyatakan dalam Kajian Perbelanjaan Isi Rumah 2016.
Pengarah Ekonomi, Perdagangan dan Integrasi Serantau Isis, Firdaos Rosli berkata, berdasarkan data Persatuan Automotif Malaysia, jualan kereta asing jenama pertengahan seperti Honda, Ford, Mazda dan Subaru mencatat kadar pertumbuhan tahunan lebih tinggi sejak 2009 berbanding juara automotif tempatan, Perodua.
Katanya, Malaysia adalah pasaran permainan dalam talian terbesar di Asia Tenggara di mana kira-kira RM2.45 bilion dibelanjakan dalam tempoh 10 bulan lalu.
Beliau turut mempersoalkan sama ada penyusutan ringgit benar-benar menjadi satu isu, memandangkan 9 bulan pertama tahun ini, Malaysia mengimport kira-kira 2 kali ganda nilai telefon mudah alih (RM6.85 bilion) dan kereta berenjin 1.5 hingga 3 liter (RM3.47 bilion).
“Malah nilai import telefon mudah alih adalah lebih tinggi daripada import makanan utama kita seperti beras, susu dan krim, kopi, bawang, kelapa, kacang soya, jagung, susu tepung dan krim digabungkan! Selain itu, harga runcit produk terbabit selalunya jauh lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Foo berkata, rakyat Malaysia berbelanja lebih untuk gajet elektronik “mewah” boleh dijangkakan kerana komunikasi kini lebih bergantung kepada telefon bimbit dan peranti elektronik lain.
Katanya, individu yang berdepan kesukaran merancang kewangan mereka perlu mendapatkan bantuan pakar yang boleh menasihatkan mereka sebelum menghadapi masalah kewangan.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris berkata, rakyat sepatutnya mengubah sikap mereka dan berbelanja mengikut kemampuan.
“Mereka hidup dalam mimpi apabila membeli semua barang berjenama melebihi pendapatan bulanan mereka. Tidak lama kemudian, ia bertukar menjadi mimpi ngeri apabila mereka gagal membayar hutang.
“Kos sara hidup sangat tinggi sekarang. Rakyat sepatutnya berfikir dahulu sebelum membeli atau makan di luar kerana harganya tidak murah.”
Rakyat Malaysia belanja lebih besar untuk kereta, telefon berbanding makanan