Isu tajaan Red Warrior: Annuar lega tiada pendakwaan

Isu tajaan Red Warrior: Annuar lega tiada pendakwaan

Bekas pengerusi Mara menganggap dakwaan memaksa Pelaburan Mara dan Universiti Kuala Lumpur menaja pasukan bola sepak Kelantan timbul kerana salah faham.

Annuar-Musa-the-red-warrior
PETALING JAYA: Tan Sri Annuar Musa lega selepas pendakwa raya memaklumkan tiada pendakwaan dalam isu dakwaan memaksa Pelaburan Mara Berhad (PMB) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), sebuah pusat pengajian bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), menaja pasukan bola sepak Kelantan.

“Saya bersyukur pada Allah, terima kasih pada SPRM yang menjalankan tugas. Saya mahu melupakan isu ini dan menganggap silap faham dari pihak yang membuat tuduhan. Saya maafkan dan lupakan perkara itu,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata demikian ketika diminta reaksi kepada keputusan pendakwa raya untuk tidak mendakwanya atas dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.

Perkara itu mula dibangkitkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meminta Annuar menjelaskan dakwaan “tajaan paksa” PMB dan UniKL.

Mesyuarat khas Ahli Majlis Mara pada Januari mengumumkan penggantungan tugas Annuar sebagai pengerusi Mara dan PMB berkuat kuasa serta merta bagi membolehkan audit dalaman Mara. Pada Februari, Annuar meluangkan 4 jam untuk memberi keterangan kepada SPRM mengenai aspek penajaan pasukan bola sepak Kelantan dan isu berkaitan.

Annuar berkata siasatan itu perlu bagi membuktikan beliau bersalah seperti yang didakwa atau tidak.

“Semua orang menjalankan tugas masing masing. Ada kalanya kita tersalah maklumat. Sebab itu siasatan diperlukan,” katanya.

Annuar menambah beliau tidak akan kembali berkhidmat di Mara.

“Tak timbul untuk saya kembali kepada jawatan pengerusi Mara kerana saya sendiri yang meminta tidak dilantik semula atas dasar prinsip. Saya kekal dengan pendirian saya,” katanya.

Annuar pernah menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan pernah mengemudi skuad The Red Warriors menjadi pasukan disegani.

Tajaan skuad Kelantan: Mara akan panggil Annuar beri keterangan

‘Fitnah totok’ saya paksa taja Kelantan, kata Annuar selepas dipanggil Mara

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.