
Mugabe, 93, memerintah negara selatan Afrika tersebut selama 37 tahun, dan kemudian meletakkan jawatan selepas tentera dan partinya, ZANU-PF, menentangnya apabial mendapati isteri Mugabe, Grace, dipersiapkan sebagai pengganti.
Dahulunya digelar ketua negara paling lama di dunia, Mugabe terkenal dengan reputasinya yang kerap berbelanja besar apabila membuat lawatan ke luar negara, termasuklah rawatan kesihatan tetap ke Singapura – salah satu punca kemarahan rakyat miskin Zimbabwe.
Beliau meninggalkan Harare bersama Grace dan pembantu mereka pada petang Isnin, kata pegawai tersebut. Beliau dijangka singgah di Malaysia, di mana anak perempuannya, Bona, bakal melahirkan anak ke-2.
“Beliau telah ke Singapura untuk menjalani pemeriksaan kesihatan tetap,” kata pegawai itu, yang mengatur perlindungan keselamatan untuk Mugabe tetapi tidak dibenarkan bercakap kepada media. “Beliau sepatutnya diperiksa sebelum ini tetapi kejadian beberapa minggu kebelakangan ini menghalang beliau keluar negara.”
Perjalanan itu bermaksud Mugabe tidak akan berada di Zimbabwe apabila ZANU-PF menyokong Presiden Emmerson Mnangagwa sebagai pemimpin parti dan calon presiden untuk pilihan raya tahun depan pada satu kongres khas Jumaat ini.
Pegawai keselamatan itu enggan memberitahu bagaimana Mugabe ke sana walaupun akhbar swasta NewsDay berkata beliau menaiki pesawat syarikat penerbangan milik kerajaan, Air Zimbabwe.
Mugabe diberi kekebalan daripada pendakwaan dan keselamatan dirinya dijamin dalam urus janji peletakan jawatannya, sumber kekecewaan ramai rakyat Zimbabwe yang menuduh beliau mencuri perbendaharaan negara dan memusnahkan ekonomi semasa berkuasa.
Seorang lagi pegawai kerajaan memberitahu Reuters bulan lepas, Mugabe sepatutnya ke Singapura pada 16 November tetapi lawatannya terhalang kerana tentera mengurungnya di rumah sehari sebelum itu.
Seorang pegawai kanan di kementerian penerangan, George Charamba, enggan mengulas.
Bawah Akta Faedah Persaraan dan Pencen Presiden Zimbabwe, seorang bekas ketua negara berhak mendapat faedah termasuklah lawatan negara asing yang terhad dan insurans kesihatan.
“Ini sudah menjadi kebiasaan buat presiden yang bersara,” kata seorang lagi pegawai kerajaan, sambil cuba menangkis sebarang kontroversi. “Kamu menimbulkan ribut (kontroversi) tanpa apa-apa.