Tidak mustahil Rafizi ‘berbohong’ lagi, kata Rahman Dahlan

Tidak mustahil Rafizi ‘berbohong’ lagi, kata Rahman Dahlan

Rahman Dahlan mahu menunggu pendedahan yang akan dibuat Rafizi esok tentang penganjuran Expo Negaraku 2017 selepas 'terkantoi' hari ini.

rahman-dahlan-expo3
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata tidak mustahil Rafizi Ramli akan berbohong esok selepas naib presiden PKR itu didapati memberikan maklumat tidak benar dalam “pendedahan” hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata demikian mengulas sidang media Rafizi esok yang akan mendedahkan beberapa isu sekitar kontrak penganjuran Expo Negaraku 2017 yang dikatakan bernilai puluhan juta ringgit.

“Hari ini dia dah ‘kantoikan’ diri. Saya nak tengok esok apa lagi pembohongan dia nak buat,” katanya pada sidang media di tapak pameran di Dataran Merdeka hari ini.

Beliau turut mengulang tayang sidang media Rafizi.

“Saya mengambil maklum Rafizi telah memadamkan pautan sidang media selama 10 minit setelah meyedari membuat tuduhan yang salah. Bagaimanapun pegawai saya telah sempat memuat naik video dan screen short dakwaan Rafizi sebelum ia dipadamkan,” tambahnya.

Terdahulu, Rafizi di ibu pejabat Invoke di Sungai Besi awal hari ini mendakwa beliau mempunyai bukti kontrak penganjuran Expo Negaraku 2017 di bawah Unit Perancangan Ekonomi (UPE) dianugerahkan kepada “Raslan”, yang didakwa abang kepada Rahman.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata beliau mempunyai dokumen bagi menyokong dakwaannya, dan akan membuat lebih banyak pendedahan berhubung perkara itu dalam sidang media berkala bermula esok.

“Mungkin Abdul Rahman tidak tidur lena dan mungkin berat badan beliau akan kurang sedikit selepas ini,” kata Rafizi. UPE di Jabatan Perdana Menteri berada di bawah tanggungjawab Abdul Rahman.

Semakan FMT kira-kira 2 jam kemudian mendapati video rakaman sidang media dan kenyataan media tidak dimuat naik di laman Facebook rasmi Rafizi seperti kebiasaannya.

Rafizi ketika dihubungi berkata semakannya mendapati Raslan sebenarnya bukan abang kepada Rahman. “Tetapi apa pun ia tidak memadamkan isu sebenar, di mana persoalannya berapa banyak beliau (Rahman Dahlan) belanjakan untuk expo tersebut dan esok saya akan dedahkan beberapan dokumen yang berkaitan.”

Rahman pada sidang media petang tadi berkata beliau sedia menjawab soal perbelanjaan dan proses tender untuk penganjuran expo tersebut. Turut bersama sidang hari ini ketua pegawai eksekutif syarikat penganjur, Nor Raslan Mohd Dahlan.

“Saya akan jawab tapi biarlah, dia kata dia akan ada satu lagi sidang media esok. Tidak ada perbelanjaan kerajaan ini yang boleh disembunyikan. Dalam Parlimen dia boleh tanya, dalam audit semua boleh didedahkan.”

Pameran projek-projek kerajaan itu berlangsung selama sebulan dari 15 November hingga 15 Disember.

Gambar: Rahman Dahlan membuat tayangan semula ‘pendedahan’ Rafizi sambil ditemani Raslan Dahlan.

Rafizi turunkan video ‘pendedahan’, Rahman kata ‘kantoi’ berniat jahat

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.