
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Zaiton yang turut kesal dengan insiden kemalangan melibatkan 3 pelari yang dilanggar sebuah kereta dalam kejadian pagi semalam itu, berkata tindakan akan diambil menurut Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997.
“Sebarang penganjuran acara sukan perlu mendapat kebenaran Pejabat Pesuruhjaya Sukan sebagaimana termaktub dalam akta tersebut, di samping mendapat kebenaran daripada badan pengelola sukan terbabit, pihak polis serta pihak berkuasa tempatan,” katanya.
Beliau juga berkata lesen itu perlu bagi memastikan mereka berkemampuan dari segi kewangan, teknikal serta mematuhi garis panduan ditetapkan badan pengelola sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Katanya pihak beliau tidak menerima sebarang permohonan lesen untuk penganjuran larian tersebut daripada mana-mana pihak.
Zaiton berkata bermula Khamis ini Pejabat Pesuruhjaya Sukan akan memuat naik senarai acara sukan yang diberikan kebenaran untuk dilaksanakan oleh pihaknya di laman web Kementerian Belia dan Sukan di kbs.gov.my.
Dalam kejadian 4.30 pagi semalam, seorang pelari parah manakala 2 lagi cedera selepas dilanggar sebuah kereta dari arah belakang di Jalan Kapar Batu 2 selepas mereka memulakan larian dari Stadium Pandamaran, Klang.