Khalid Samad tak cabar sabitan salah ceramah tanpa tauliah

Khalid Samad tak cabar sabitan salah ceramah tanpa tauliah

Peguamnya tidak menerima sebarang arahan daripada pemimpin Amanah itu yang diringankan hukumannya walaupun kekal bersalah, selepas rayuan di mahkamah syariah.

khalid-court
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad tidak merayu kepada Mahkamah Rayuan Syariah Selangor untuk mencabar sabitannya atas tuduhan mengajar Islam tanpa tauliah, kata peguamnya.

Zulqarnain Lukman berkata anak guamnya menerima keputusan Mahkamah Tinggi Syariah untuk mengekalkan sabitan itu yang turut meringankan hukuman.

“Saya tidak menerima sebarang arahan daripadanya semasa tarikh akhir untuk memfailkan rayuan luput Jumaat lalu,” kata Zulqarnain kepada FMT.

Bagaimanapun, Zulqarnain tidak pasti sama ada pendakwa raya syariah telah memfailkan rayuan untuk mengenakan semula denda asal oleh mahkamah syariah sebelum ini.

Awal tahun ini, Mahkamah Syariah di Klang mendapati Khalid bersalah mengajar Islam tanpa tauliah sah semasa menyampaikan ceramah di surau Taman Seri Sementa, Klang, pada 2011.

Beliau didenda RM2,900 dan meletakkannya pada risiko tidak layak bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Khalid mendakwa beliau diundang ke surau tersebut untuk berkongsi pengalamannya ke Palestin, bukan untuk memberi ceramah agama.

Hakim Mahkamah Syariah Selangor Salehan Yatim mengurangkan jumlah denda kepada RM1,900, yang bermakna Khalid tidak hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen dan masih boleh bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan seseorang menjawat wakil rakyat jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000.

Zulqarnain berkata, Khalid yang merupakan pengarah komunikasi Amanah, perlukan masa untuk mempertimbangkan beberapa faktor sebelum membuat keputusan kerana Islam adalah hal kendalian negeri di mana raja adalah ketua agama.

Sebelum ini, Pengerusi Islamic Renaissance Front (IRF) Datuk Dr Farouk Musa dan peguam Rosli Dahlan menggesa Khalid merayu sabitannya dan jangan berpuas hati dengan menerima denda yang dikurangkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah pada 24 November.

Dr Farouk dan Rosli berkata keputusan Khalid seolah-olah menunjukkan beliau menerima definisi “mengajar tanpa permit”, sebagaimana ditentukan dalam Enakmen Pentadbiran Islam Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.