Dr M pulangkan pingat kebesaran tindakan terhormat, kata Zaid

Dr M pulangkan pingat kebesaran tindakan terhormat, kata Zaid

Bekas menteri undang-undang berkata Dr Mahathir Mohamad tidak lagi boleh menyandang gelaran kebesaran yang diberikan Sultan Selangor selepas diisytiharkan sebagai orang tidak diingini.

zaid-mahathi
PETALING JAYA:
Keputusan Tun Dr Mahathir Mohamad memulangkan pingat kebesaran yang diterimanya daripada Sultan Selangor adalah tindakan terhormat yang patut dilakukan, kata bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim.

Zaid berkata demikian selepas sumber rapat bekas perdana menteri itu mengesahkan pingat tersebut dikembalikan berikutan kritikan keras terhadapnya oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Munir Bari, ketika dihubungi enggan memberikan komen dan berkata kenyataan akan dikeluarkan sekiranya perlu.

Pingat tersebut dipulangkan sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor ke-72 hari ini.

“Apabila sultan mengambil langkah yang tidak pernah berlaku sebelum ini iaitu mengisytiharkannya sebagai orang yang tidak diingini secara terbuka, Tun tidak lagi boleh menyandang gelaran yang diberikan kepadanya.

“Ia satu-satunya tindakan terhormat yang beliau boleh lakukan,” kata Zaid kepada FMT.

Sultan Sharafuddin pada mulanya mengkritik Dr Mahathir berikutan ucapannya semasa perhimpunan anti-kleptokrasi anjuran Pakatan Harapan Oktober lalu di mana beliau merujuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai “keturunan lanun Bugis”.

Kerabat diraja Selangor juga berketurunan Bugis.

Dr Mahathir menegaskan kenyataan beliau itu hanya ditujukan kepada Najib dan bukan masyarakat Bugis.

Sultan Selangor seterusnya mengkritik Dr Mahathir melalui wawancara yang diterbitkan akhbar The Star dan Utusan Malaysia.

Sultan Selangor terdahulu, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, menganugerahkan darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) kepada Dr Mahathir pada 1978.

Pada 2003, selepas bersara sebagai perdana menteri, Sultan Sharafuddin menganugerahkannya darjah kebesaran Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati (DK).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.