Aktivis Jordan lancar kempen kreatif dalam isu Baitulmaqdis

Aktivis Jordan lancar kempen kreatif dalam isu Baitulmaqdis

Ia berkait dengan alamat kedutaan AS di Amman.

Kedutaan Amerika Syarikat di Amman terletak di Jalan Al-Umawyeen, tetapi aktivis mahu nama jalan itu diubah kepada Jalan Baitulmaqdis Arab.
Kedutaan Amerika Syarikat di Amman terletak di Jalan Al-Umawyeen, tetapi aktivis mahu nama jalan itu diubah kepada Jalan Baitulmaqdis Arab.
PETALING JAYA:
Rakyat Jordan menggunakan pendekatan baharu untuk membantah pengiktirafan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel oleh Amerika Syarikat (AS).

Portal berita dunia Arab, Albawaba melaporkan penduduk negara yang berjiran dengan Palestin itu mencadangkan nama jalan di mana terletaknya kedutaan AS di Amman ditukar kepada “Jalan Baitulmaqdis Arab”.

Cadangan “tanpa kekerasan dan penuh simbolik” itu dilancarkan melalui media sosial selepas keputusan Presiden AS, Donald Trump pada Khamis lalu.

“Ia akan memaksa mereka menulis ‘Baitulmaqdis Arab’ apabila menulis surat ke kedutaan mereka,” tulis pengguna media sosial.

“Ini sekurang-kurangnya yang kita minta daripada pihak berkuasa,” tulis @hayafAlRawashde,

Hanya lebih kurang 70km dari Baitulmaqdis, Amman dilihat mengadakan bantahan besar-besaran terhadap keputusan penuh kontroversi beberapa hari lalu.

Lebih 20,000 penduduk berkumpul di pusat bandar selepas solat Jumaat tanpa halangan daripada pihak keselamatan.

Bantahan itu juga dilakukan di sekitar kedutaan AS yang dikawal ketat, yang kini dikenali sebagai “Jalan Al-Umawyeen” di daerah Abdoun.

Mereka menuntut kedutaan itu ditutup, memaksa pihak kedutaan menggantung sementara aktiviti mereka dan mengehadkan pergerakan kakitangan.

Mereka yang menyokong perubahan nama itu yakin ia berkesan jika dilaksanakan di semua negara yang memihak kepada perjuangan Palestin.

Mereka kemudiannya menegaskan bantahan berdasarkan alamat bukanlah sesuatu baharu di dunia Arab.

Kempen itu juga mula merebak ke negara jirannya.

Beberapa kiriman Facebook mencadangkan bantahan serupa untuk kedutaan AS di Kaherah dengan menggesa perubahan di seluruh dunia Arab melalui Twitter.

Sementara itu, terdapat rancangan lain untuk bantahan tanpa kekerasan di Jordan pada Ahad, dengan gesaan penutupan kedai selama sejam sebagai solidariti kepada Baitulmuqaddis.

Sebilangan besar rakyat Jordan berasal dari Palestin. Jordan bertindak sebagai penjaga tapak suci Islam dan Kristian di Baitulmuqaddis, peranan yang ramai merasakan dimusnahkan oleh keputusan Trump.

Kedutaan Israel di Amman masih ditutup berikutan kejadian 2 rakyat Jordan ditembak mati oleh pengawal keselamatan Israel pada Julai. Insiden itu mencetuskan kemarahan dan protes besar-besaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.