Rahman Dahlan pelawa Sheila Majid ke taklimat ekonomi EPU

Rahman Dahlan pelawa Sheila Majid ke taklimat ekonomi EPU

Menteri itu dalam catatan di Twitter turut mempelawa selebriti lain yang mengambil berat tentang 'kos sara hidup tinggi'

Rahman-Dahlan-sheila2
PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mempelawa ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid menghadiri taklimat Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk mendapat gambaran lebih jelas mengenai keadaan semasa ekonomi negara.

Rahman turut memanjangkan jemputan itu kepada selebriti lain dalam catatan Twitternya hari ini.

“Mungkin Persatuan Seniman boleh menganjurkan kunjungan itu dan saya gembira menjadi tuan rumah,” kata ahli Parlimen Kota Belud itu.

Dalam tweet terdahulu, Rahman berkata: “Tidak salah untuk selebriti untuk mengulas hal ehwal semasa kita.

“Tetapi seperti orang lain juga, bersedia untuk dikritik. Politik bukan jalan sehala.

“Lagipun, di negara lain selebriti, pelawak dan malah bintang porno boleh menyuarakan pendapat mengenai isu menjejaskan negara mereka. Ada yang memutuskan untuk menjadi ahli politik sepenuh masa.

“Tetapi selebriti ini mempunyai rekod melibatkan diri mereka selama bertahun-tahun dalam isu-isu yang mereka minat. Mereka menghadiri dan menganjurkan ceramah, menyertai perbincangan dan sebagainya. Mereka jarang tweet satu atau dua kali dan mengharapkan rakyat memahami motif mereka.

“Saya suka Sheila Majid. Saya peminat setia. Jika saya boleh bertolak ansur dengan kata-kata merapu pembangkang, sudah pasti saya boleh mendengar pandangan jujurnya atau orang lain. Tetapi saya harap beliau boleh menjelaskan lebih lanjut sebab beliau menyuarakan apa yang dikatakannya.”

Selasa lalu, Sheila mengeluh mengenai kos sara hidup tinggi dan nilai ringgit lemah di Twitternya.

“Makanan mahal, ringgit lemah, kos sara hidup tinggi & pekerjaan sukar didapati.

“Rakyat Malaysia semakin letih & marah kerana dihimpit hutang yang bukan kita cipta.

“Cukuplah beralasan & cari kesalahan. Tumpu pada tugas meletakkan negara kembali ke landasan! Mengecewakan!” demikian tulis penyanyi popular itu.

Catatan itu dikongsi secara meluas dan sesetengah netizen memuji tindakannya membangkitkan isu itu, manakala yang lain mempersoalkan gaya hidupnya dan berkata beliau tidak dapat memahami kesukaran berpunca daripada kos sara hidup tinggi, ringgit lemah dan kekurangan peluang pekerjaan.

Antara mereka yang menyokong keluhan Sheila ialah Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, 2 persatuan yang mewakili artis tempatan memberi pandangan berbeza mengenai rintihan Sheila berhubung keadaan ekonomi negara yang membelenggu rakyat.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia, Freddie Fernandez berkata, artis perlu melakukan apa yang mereka tahu, iaitu menghiburkan orang ramai dengan lakonan dan nyanyian mereka.

Katanya, anak seni yang berminat dengan politik sepatutnya menyertai parti politik untuk memperjuangkan nasib rakyat.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi bagaimanapun berkata, setiap artis berhak menyuarakan pendapat mereka di media sosial kerana ia adalah platform individu, tetapi mereka perlu berhati-hati berbuat demikian kerana setiap perkataan mereka akan dipercayai peminat dan pengikut.

Beliau berkata, luahan anak seni di media sosial ialah realiti yang perlu dihadapi pemimpin untuk memperbetulkan keadaan negara.

Sementara itu, sesetengah netizen mengalu-alukan pelawaan Rahman kepada Sheila dan selebriti lain serta mereka patut menerima jemputan itu.

Sein Hamid berkata: “Hormat tuan, tolong jemput mereka semua ke taklimat itu.”

Seorang lagi pengguna Twitter, Mohd Zani berkata: “Tolong buat demikian, mungkin mereka akan membeli-belah di pasar basah, bukannya pasar raya.”

Austin Gan berkata: “Ia idea bagus untuk pelawa Sheila ke EPU.”

Amy Shah juga bersetuju ia adalah “idea sangat baik untuk mendidik mereka”.

Bagaimanapun, pengguna Twitter Akma memberitahu Rahman yang bertanggungjawab ke atas EPU: “Bolehkah kami membawa anda ke pasar raya? Beli dengan kami, maka anda akan tahu betapa mahalnya barang runcit. Dengar, orang tidak akan mengadu jika ia tidak mendesak.”

Penyanyi Sheila Majid mengeluh kos hidup tinggi, ringgit lemah

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.