Salleh: Gandingan Najib-Zahid serasi, tak perlu bertanding

Salleh: Gandingan Najib-Zahid serasi, tak perlu bertanding

Salleh bagaimanapun menegaskan langkah itu tak beerti akan menutup hak mana-mana pihak yang ingin bertanding

salleh-najib-zahid
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, keserasian gandingan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merupakan faktor utama 2 jawatan tertinggi Umno itu tidak dipertandingkan dalam pemilihan parti akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, hakikat itu diakui 3 sayap parti, iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri.

“Mengambil kira resolusi daripada Pemuda Umno, Wanita dan Puteri serta banyak bahagian yang ingin melihat jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan kerana kedua-dua pemimpin ini boleh berganding bahu untuk menentukan kekuatan parti dan tidak ada sebab kenapa nak dipertandingkan,” katanya kepada wartawan di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Semalam, perwakilan Umno sebulat suara meluluskan usul dikemukakan sayap Pemudanya supaya 2 jawatan tertinggi dalam parti itu menang tanpa bertanding pada pemilihan akan datang.

Pemilihan Umno sepatutnya diadakan tahun lalu, tetapi ditangguhkan bagi membolehkan parti itu memfokuskan persiapan PRU14 yang dijangka diadakan tahun depan. Pemilihan Umno dijangka diadakan selepas PRU14.

Ini bermakna, Najib tidak akan dicabar sekiranya dicalonkan untuk jawatan presiden bagi penggal baharu dan Zahid yang menggalas tugas timbalan presiden juga boleh menang tanpa bertanding, jika beliau dicalonkan untuk jawatan itu.

Umno turut mengambil ketetapan supaya Datuk Seri Hishammuddin Hussein terus menyandang jawatan naib presiden.

Mengulas lanjut, Salleh berkata, untuk menjadikan Malaysia negara berwawasan, Najib yang juga perdana menteri memerlukan timbalan yang setia serta seorang sahabat yang dapat membantu beliau.

“Datuk Seri Najib seorang pemimpin negara yang berwawasan, yang ingin membawa Malaysia ke arah lebih gemilang dan dia memerlukan seorang timbalan yang setia, seorang sahabat yang boleh membantu beliau untuk menentukan matlamat ini tercapai.”

Bagaimanapun, menteri komunikasi dan multimedia itu berkata, usul itu tidak akan menghalang hak ahli Umno untuk bertanding jawatan lain.

“Ini bukan bererti kita menutup hak mana-mana pihak untuk mereka bertanding. Mereka boleh bertanding untuk jawatan-jawatan lain, tapi bagi jawatan presiden dan timbalan presiden, kita harus menentukan kestabilan parti.

“Apabila parti stabil dari segi kepimpinannya, ini akan menjamin kestabilan politik negara,” katanya.

Jawatan presiden, timbalan tidak dipertandingkan, Hishammuddin kekal

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.