Hishammuddin kecewa isu keselamatan jadi mainan, jenaka pembangkang

Hishammuddin kecewa isu keselamatan jadi mainan, jenaka pembangkang

Menteri pertahanan itu berkata, apabila berlaku bencana dan huru-hara, ATM juga yang dicari parti pembangkang.

hishamudin
KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein membidas tindakan pembangkang yang sering menjadikan isu keselamatan negara sebagai mainan dan jenaka.

Menteri pertahanan itu memberi contoh bencana banjir di Pulau Pinang bulan lalu, di mana ada pihak cuba menafikan sumbangan dan kerja keras anggota keselamatan demi agenda politik mereka.

“Memang benar seperti yang disebut Datuk Zaidi, wakil Pulau Pinang, sebenarnya anggota kita telah turun membantu mangsa banjir jauh lebih awal sebelum rakaman video terancang Lim Guan Eng disebarkan.

“Memang sikap pembangkang sering mempersenda dan bersandiwara, hingga hal keselamatan pun tidak terlepas dari mainan dan jenaka mereka.

“Insiden Lahad Datu dikata sandiwara, walau anggota kita terkorban nyawa, aset ketenteraan dan kapal selam diperlekeh dan hak penempatan tentera sebagai pengundi dipertikai,” katanya dalam ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Umno ke-71 hari ini.

Pada 5 November lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menerusi sebuah video pendek meminta bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu kerajaan negeri itu menghadapi bencana banjir.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, beliau menerima panggilan daripada Lim pada 3.34 pagi untuk memaklumkan keadaan banjir di negeri itu sebelum mengarahkan Majlis Keselamatan Negara menggerakkan pasukan keselamatan bagi membantu mangsa banjir.

Hishammuddin berkata, apabila berlaku bencana dan huru-hara, ATM juga yang dicari parti pembangkang.

“Kedaulatan negara bukan hanya mengenai kecanggihan dan kelengkapan aset serta teknologinya, tetapi ia juga banyak bergantung kepada kesanggupan perajurit yang berkorban jiwa dan raga.

“Kami di Kementerian Pertahanan percaya anggota tentera kita mampu melakukannya.”

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin yang juga menteri tugas-tugas khas berjanji akan mempertahankan negara ini daripada sebarang pencerobohan.

“Datuk Seri presiden telah mengamanahkan saya bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk membantu beliau dalam hal ehwal keselamatan negara. Presiden menyentuh tentang ancaman IS ketika menyampaikan ucapan dasar Khamis lalu.

“Ancaman yang bermula hanya bersifat wilayah, hari ini ia merupakan ancaman sejagat. Bermula di Timur Tengah, hari ini bendera IS telah berkibar di Marawi, Filipina. Negara jiran yang amat dekat dengan negara kita.

“Justeru, selagi diamanahkan untuk menjaga perbatasan negara, saya berjanji untuk tidak membiarkan walau seinci pun tanah ibu pertiwi ini diceroboh dan diganggu gugat mana-mana pihak.”

Mengenai keputusan Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, Hishammuddin berkata, pasukan keselamatan negara bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

“Saya yakin, sebagai menteri pertahanan, apa jua arahan daripada Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera, Yang di-Pertuan Agong akan terus kami junjung. Panglima Angkatan Tentera dan ATM pastinya sudah siap siaga.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.