Pendidikan alam sekitar bakal jadi subjek di tadika ke universiti

Pendidikan alam sekitar bakal jadi subjek di tadika ke universiti

Perkara itu sejajar dengan rancangan kementerian berkenaan untuk menanam sifat menghargai dan memelihara alam sekitar sejak peringkat kanak-kanak lagi.

Wan-Junaidi-Tuanku_tadika_600
MELAKA:
Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar merancang menjadikan pendidikan alam sekitar sebagai mata pelajaran di peringkat tadika hingga universiti menjelang 2019.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata perkara itu sejajar dengan rancangan kementerian berkenaan untuk menanam sifat menghargai dan memelihara alam sekitar sejak peringkat kanak-kanak lagi.

“Kita kena akui, hari ini, sampah merupakan masalah utama bagi alam sekitar dan ia terlalu besar untuk dipandang ringan kerana negara kita dijangka menghasilkan 30,000 tan bahan buangan setiap hari menjelang 2020. Setiap hari, 3,000 tan makanan yang masih sesuai dimakan menjadi bahan buangan di tapak pelupusan sampah, sedangkan makanan sebanyak itu boleh mengenyangkan kira-kira 2 juta manusia.

“Sekiranya tiada tindakan diambil untuk mengubah perkara itu, jumlah sampah akan terus meningkat berikutan peningkatan jumlah penduduk dan pembangunan, terutama di kawasan bandar,” kata Wan Junaidi dalam ucapan alu-aluan Persidangan Eko Sekolah Antarabangsa 2017 hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan, Jabatan Alam Sekitar Ismail Ithnin.

Persidangan bertemakan “Pengurusan Sampah dan Kesannya Terhadap Alam serta Biodiversiti” itu yang dihadiri 71 pelajar dan 27 guru dari 27 sekolah dari Malaysia, Thailand dan Singapura, bertujuan mewujudkan platform bagi pelajar mempamerkan kemahiran dari segi kepimpinan dan meningkatkan keyakinan mereka melalui interaksi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.