
Pengerusi PAGE, Datin Noor Azimah Rahim dan Pengarah Suriana, Scott Wong memberitahu FMT cadangan itu wajar dipertimbangkan, tetapi mereka tidak bersetuju ia dilaksanakan ke atas pemuda berusia 21 tahun, seperti dicadangkan Ketua Wanita Umno Bahagian Wangsa Maju, Noor Aieni Mohd Ali.
Aieni ketika bercakap pada Perhimpunan Agung Wanita Umno semalam mencadangkan perintah berkurung dilaksanakan mulai 10 malam sehingga 5 pagi bagi memastikan pengawasan lebih baik ke atas belia oleh ibu bapa.
Katanya, ia dapat menyelesaikan isu merayau dan penglibatan belia dalam aktiviti tidak bermoral serta jenayah.
Azimah dan Wong berkata, tidak praktikal menetapkan had umur pada 21 tahun kerana sesetengah daripada mereka mungkin sudah bekerja dan melanjutkan pengajian di kolej, oleh itu mereka mungkin perlu keluar malam untuk bekerja atau belajar secara berkumpulan.
“Jika ianya sehingga 17 tahun, maka ia adalah cadangan baik,” kata Azimah.
Wong berkata, mereka yang berumur 17 tahun ke atas tidak patut dianggap kanak-kanak.
“Mereka pada dasarnya adalah orang dewasa,” katanya.
Beliau memberi amaran cadangan Aieni tidak patut dilaksanakan tergesa-gesa kerana kajian sewajarnya perlu dilakukan terlebih dahulu.
Azimah bagaimanapun bimbang dengan cara melaksanakan perintah berkurung itu. Beliau mencadangkan sebarang teguran patut ditujukan kepada ibu bapa, bukan anak mereka.
“Denda selalunya menjadi,” katanya.
Beliau berkata, kanak-kanak yang keluar malam dengan ibu bapa patut dikecualikan daripada perintah berkurung itu.
Perintah berkurung kanak-kanak di Iceland dilaporkan membawa kepada penurunan masalah sosial dalam kalangan belia.
Di bawah Akta Perlindungan Kanak-kanak Iceland 2002, kanak-kanak berumur 12 tahun atau ke bawa tidak boleh berada di luar rumah selepas 8 malam melainkan ditemani seorang dewasa.
Kanak-kanak 13 hingga 16 tahun pula tidak boleh berada di luar rumah selepas 10 malam melainkan mereka dalam perjalanan pulang daripada program anjuran sekolah, organisasi sukan atau kelab belia.
Bermula 1 Mei hingga 1 September, kanak-kanak dibenarkan berada di luar rumah 2 jam lebih lama.
Kanak-kanak dan remaja yang melanggar perintah berkurung itu akan dibawa ke balai polis, di mana ibu bapa mereka perlu membawa mereka pulang.
Ibu bapa akan bergilir meronda kawasan kediaman ketika perintah berkurung dilaksanakan.
Iceland mendahului senarai remaja paling berkelakuan baik di Eropah.
Satu tinjauan baru-baru ini menunjukkan peratusan remaja 15 dan 16 tahun yang minum arak berkurangan daripada 42% pada 1998 kepada 5% tahun lalu.
Peratusan perokok dalam kalangan mereka juga menurun daripada 23% kepada 3% dan penggunaan kanabis berkurangan daripada 17% kepada 7%.