Mahkamah kurangkan tempoh penjara bekas pelajar UM miliki buku IS

Mahkamah kurangkan tempoh penjara bekas pelajar UM miliki buku IS

Mahkamah Rayuan bagaimanapun mengekalkan sabitan ke atas Siti Noor Aishah Atam atas tuduhan memiliki buku mempromosi idea IS.

Siti-Noor-Aishah-parents-Jusoh-Atam-1
Ayah kepada Siti Noor Aishah, Jusoh Atam dan ibu Saadiah Ibrahim menahan sebak selepas keputusan Mahkamah Rayuan mengurangkan tempoh penjara anaknya kepada 3 tahun.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini mengurangkan tempoh hukuman penjara Siti Noor Aishah Atam, yang dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun sebelum ini, kepada 3 tahun kerana memiliki 12 buku cenderung kepada gerakan militan IS.

Hakim Datuk Kamardin Hashim yang membaca keputusan itu yang menolak keputusan tempoh hukuman penjara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Kamardin bagaimanapun mengekalkan kesalahan yang dijatuhkan kepada Aishah.

Selain Kamardin, panel hakim hari ini turut dianggotai Datuk Ahmadi Asnawi
dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil.

“Pengurangan hukuman itu kerana hukuman yang dijatuhkan sebelum ini terlalu berat,” kata Kamardin ketika membaca keputusan rayuan.

Siti-Noor-Aishah's-parents
Peguam Aishah, Kamaruzaman A Wahab berkata keputusan hari ini membolehkan Aishah dibebaskan seawal-awalnya pada 2018.

Ia berikutan Aishah sudah menjalani penjara setahun dan menerima pengurangan 1/3 dari tarikh dia ditahan.

“Aishah dapat kurang hukuman penjara 1/3 daripada 3 tahun hukuman penjara itu.

“Akan keluar tahun hadapan tetapi tidak pasti bulan berapa,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, ayah Aishah, Atam Jusoh kecewa dengan keputusan itu kerana menjangkakan anaknya akan dibebaskan.

“Bagaimanapun saya tetap bersyukur,” katanya.

Atam menambah anaknya akan meneruskan pengajian sarjana yang tertangguh tetapi bukan di Universti Malaya (UM).

“Walaupun boleh teruskan di UM tetapi dia pilih sambung pelajaran di universiti lain,” katanya.

Pada 26 April lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas Aishah atas tuduhan memiliki 12 buku mempromosi fahaman militan seperti IS.

Aishah disabitkan bersalah di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan serta Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Hakim Datuk Mohamad Shariff Abu Samah memerintahkan Aishah menjalani hukuman tersebut dari hari dia ditahan dan mengarahkan kerajaan melupuskan serta mengharamkan 12 buku terbabit.

Antara judul buku itu adalah “Visi Politik Gerakan Jihad”, “Generasi Kedua Al-Qaedah: Apa Dan Siapa Zarqawi Apa Rencana Mereka Ke Depan”, “Dari Usama Kepada Para Aktivis”, “Dari Rahim Ikhwanul Muslimin Ke Pangkuan al-Qaeda” dan “Ketika Maslahat Dipertuhankan dan Menjadi Taghut Model Baru”.

Aishah mengaku tidak bersalah memiliki buku berkenaan dan mendakwa buku itu adalah untuk kajiannya dalam bidang Ijazah Sarjana Akidah dan Pemikiran Islam di UM pada 2012 hingga 2013.

Selepas ditahan pada Mac 2016, Aishah dibuang UM kerana gagal hadir ke kelas. Ketika itu, dia mengambil jurusan dalam bidang Usuluddin.

September lalu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Aishah daripada semua pertuduhan atas alasan tiada kes prima facie dibuktikan terhadapnya. Bagaimanapun, dia ditahan semula di bawah Akta Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2014 atau Poca selama 60 hari, pada hari sama dia dibebaskan.

Sebaik dibebaskan, dia diletakkan di bawah tahanan rumah dengan dipasang peranti pengawasan elektronik bagi memastikan dia tidak meninggalkan daerah Surah di Dungun, Terengganu, tanpa kelulusan polis.

Aishah kemudiannya ditahan semula di bawah Sosma dan dimasukkan ke Penjara Kajang sejak 29 Mac lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.