
Ketua Wanita Umno berkata mereka bersedia berdepan veteran seperti Lim Kit Siang dari DAP dan ahli politik muda seperti Nurul Izzah Anwar dari PKR di tempat mereka, tetapi tidak mahu menjadi korban percaturan yang salah.
“Orang politik nak menang mesti berani. Kita sedikit pun tidak takut. Saya tidak mahu bila kawasan dah tahu ‘hitam’ nak hantar wanita jadi kambing hitam itu saya tidak mahu,” katanya.
Shahrizat berkata demikian pada sidang media di tepian Perhimpunan Agung Wanita Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.
Pemberita bertanyakan sama ada Wanita Umno sedia berdepan Lim dan Nurul, selepas Naib Presiden Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan menutup Persidangan Antarabangsa Wanita Dalam Politik 2017 Isnin lepas berharap Shahrizat diberi jawatan “teramat penting” selepas Pilihan Raya Umum ke-14.
Kenyataan itu seakan membayangkan beliau mahu Shahrizat kembali bertanding, selepas gagal mempertahankan Parlimen Lembah Pantai pada PRU12 (2008) di tangan Nurul. Beliau terpaksa berpuas hati dengan 18,833 undi berbanding 21,728 undi yang diperoleh Nurul, dengan majoriti 2,895 undi.
Shahrizat tidak bertanding pada PRU13 (2013), namun BN melalui Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin menunjukkan prestasi lebih baik dengan 29,161 undi berbanding 31,008 undi yang diterima Izzah, dengan majoriti 1,847 sahaja.
Shahrizat sempat mengkritik Izzah yang menurutnya gagal berkhidmat kepada rakyat sejak memenangi kerusi Lembah Pantai.
“Saya dengar ramai calon pembangkang nak lari dari tempat mereka, tidak tahu betul atau tidak, macam Izzah di Lembah Pantai, rakyat buat aduan beliau tidak berkhidmat untuk rakyat.
“Saya dengar juga beliau tidak mahu bertanding di Lembah Pantai. Baik beri pada Nong Chik yang menjalankan tugas wakil rakyat.
“Ramai calon pembangkang cakap retorik sahaja. Tengok banjir Guan Eng boleh menangis. Pembangkang hanya cakap sahaja. Ada bencana lari, telefon siapa? Permimpin BN juga,” katanya.