
Katanya, beliau bimbang Sheila mungkin disenarai hitam atau dihalang membuat persembahan secara terbuka.
Beliau berkata, istilah senarai hitam digunakan artis apabila kontrak mereka tiba-tiba ditamatkan atau dilarang membuat persembahan di stesen televisyen, radio atau secara terbuka.
“Tolong jangan tekan penyanyi dan artis. Mereka hanya menyuarakan kebimbangan rakyat dan mereka bukan ahli pembangkang.
“Mereka bercakap mengenai apa yang rakyat biasa sudah fikirkan. Ini ialah isu kehidupan harian.
“Kerajaan perlu menghormati hak artis untuk menyuarakan pendapat mereka. Jangan kekang pendapat mereka dan senarai hitam mereka,” katanya pada sidang media bersama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Komtar hari ini.
Semalam, Sheila mengeluh mengenai kos sara hidup tinggi dan nilai ringgit lemah di Twitternya.
“Makanan mahal, ringgit lemah, kos sara hidup tinggi & pekerjaan sukar didapati.
“Rakyat Malaysia semakin letih & marah kerana dihimpit hutang yang bukan kita cipta.
“Cukuplah beralasan & cari kesalahan. Tumpu pada tugas meletakkan negara kembali ke landasan! Mengecewakan!” demikian tulis penyanyi yang terkenal dengan lagu “Antara Anyir Dan Jakarta”, “Lagenda” serta “Sinaran”.
Selain Sheila, pelakon Fathia Latiff turut mempersoalkan mengapa hanya sekarang siasatan dijalankan ke atas kerugian urus niaga mata wang asing yang dialami Bank Negara pada 1990-an.
Pengacara televisyen terkenal, Aznil Nawawi antara lain mempersoalkan perdana menteri mengenai cukai barangan dan perkhidmatan (GST) serta ringgit lemah.
Mengulas lanjut, Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee SM Anwar Ulhaque berkata, kerajaan tidak boleh menghukum artis hanya kerana mereka menyuarakan pendapat.
“Saya bimbang kenyataan dari Pejabat Perdana Menteri biasanya disusuli tindakan itu (senarai hitam). Anda tidak boleh menghukum arti hanya kerana mereka menyuarakan pendapat sendiri.”
Zunar berkata, beliau merujuk “teguran berupa amaran” oleh Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor kepada artis tempatan.
Susulan rintihan Sheila semalam, Rizal mengingatkan artis supaya tidak menjadi alat pembangkang.
Katanya, berdasarkan apa yang berlaku pada pilihan raya umum 2013, golongan artis sekadar digunakan untuk ceramah dan kemudian dilupakan selepas pilihan raya.
Penyanyi Sheila Majid mengeluh kos hidup tinggi, ringgit lemah