
Kali ini, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar membakar keratan mirip Datuk Zaid Ibrahim susulan kenyataan bekas menteri undang-undang itu didakwanya mengguris perasaan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta seluruh rakyat negeri itu.
Jamal membakar “Zaid” yang tertera perkataan “pengkhianat, kurang ajar, biadab” diluar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sambil disaksikan lebih 20 ahli Umno.
Semalam, Zaid di media sosial menegur Sultan Selangor supaya berhati-hati dengan kata-kata beliau, kerana semua akan terkesan apabila negara terbakar. Zaid mengulas laporan media “Selangor ruler: Dr M will burn the whole country with his anger”.
“Saya rasa kami perlu ajar Zaid Ibrahim kali ini kerana perbuatan yang sangat biadap dan keterlaluan. Bagi saya, sudah sampai waktunya. Apa yang beliau buat itu langsung kami tak boleh terima,” kata Jamal kepada pemberita selepas membakar boneka mirip Zaid.
“Dia nak maki saya dia boleh maki saya 24 jam, siang dan malam pun tak apa, tetapi jangan sekali-kali menghina, mengaibkan, mengeluarkan perkataan biadap terhadap sultan kami.

Terdahulu, Jamal melakukan gimik sama di depan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi selepas membuat laporan polis terhadap Zaid pada 3.00 petang tadi.
Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata Umno negeri merancang mengadakan tunjuk perasaan menyatakan sokongan kepada Sultan Selangor.