Awang Adek: Rakyat Kelantan benci Dr M punca Umno gagal 3 dekad

Awang Adek: Rakyat Kelantan benci Dr M punca Umno gagal 3 dekad

Sentiman anti-Mahathir di Kelantan dipercayai faktor Umno dan Barisan Nasional tidak mampu menawan hati rakyat Kelantan sejak 1990.

Awang-Adek-Hussin_mahathir_umno_600
KUALA LUMPUR:
Sentimen anti-Mahathir dipercayai faktor Umno dan Barisan Nasional hampir 3 dekad gagal menawan Kelantan sejak 1990, kata Ketua Umno Bahagian Bachok Datuk Awang Adek Hussin.

Kenyataan Awang Adek itu sekaligus menyokong dakwaan veteran Umno Kelantan, Tengku Razaleigh Hamzah, minggu lalu bahawa kebencian terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad di zaman pentadbirannya punca rakyat negeri itu tidak dapat menerima Umno.

“Tengku Razaleigh bukan sahaja tokoh politik paling lama di Kelantan…sudah tentu beliau tahu selok belok dan budaya politik rakyat Kelantan.

“Rakyat Kelantan memang membenci Tun Mahathir atas beberapa tindakannya, dan ditambah dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan pembangkang membuatkan sentimen Anti Mahathir meluap-luap pada rakyat Kelantan,” katanya ketika ditemui pemberita di Persidangan Aging Umno (PAU) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Awang Adek berkata dakwaan Tengku Razaleigh itu terbukti pada pilihan raya umum ke-11, apabila prestasi Umno di Kelantan jauh lebih baik di bawah teraju Presiden Tun Abdullah Ahmad Badawi (2003-2009).

“Ketika PRU 2004, Pak Lah memimpin Umno dan BN pertama kali menghadapi pilihanraya dan hampir-hampir berjaya menawan Kelantan dengan kekalahan tipis 2 kerusi DUN. Kemudian kita berjaya menjadikan perbezaan satu kerusi pada pilihanraya kecil Pasir Mas tak lama kemudian.

“Ini jelas personaliti dan pembawakan politik Pak Lah lebih disukai dan dihormati raktat Kelantan berbanding zaman Tun Mahathir,” katanya.

Tengku Razaleigh membuat dakwaan itu di mesyuarat Badan Perhubungan Umno Kelantan yang turut dihadiri Presiden Datuk Seri Najib Razak di ibu negara minggu lalu.

Untuk rekod, 2 tahun sebelum PRU-11, persaingan antara Tengku Razaleigh dan Dr Mahathir pada pemilihan parti 1987 membawa kepada perpecahan dan pengharaman parti itu pada 1988.

Tengku Razaleigh dan para penyokongnya kemudian menubuhkan Semangat Melayu 46, yang bekerjasama dengan PAS pada PRU-11 dan berjaya merampas Kelantan daripada BN.

Kerajaan Kelantan diterajui PAS sehingga hari ini.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.