Zaid: Bina perwatakan dengan semai nilai baik, bukan ritual agama

Zaid: Bina perwatakan dengan semai nilai baik, bukan ritual agama

Zaid Ibrahim membidas arahan solat berjemaah di sekolah kebangsaan di Kuantan dengan berkata, amalan agama yang dipratikkan di sekolah setiap hari satu kegagalan.

Zaid-Ibrahim-solat-di-sekolah
PETALING JAYA: Datuk Zaid Ibrahim mengkritik tindakan pegawai pendidikan daerah di Pahang yang mengarahkan sekolah di Kuantan mengadakan solat berjemaah sebelum pelajar pulang ke rumah.

Bekas menteri itu merujuk kenyataan Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Mohd Razali Mustafar yang dipetik Bernama Rabu lalu sebagai berkata, sembahyang antara salah satu pengisian utama pihaknya membina perwatakan warga sekolah, khasnya di kalangan pelajar.

“Mewajibkan sesi sembahyang ini ke atas pelajar hanyalah satu lagi daripada banyak perkara bodoh pendidik kita lakukan kepada pelajar kita.

“Ritual agama diamalkan setiap hari di sekolah kita adalah satu kegagalan dan mereka akan terus gagal membina perwatakan dan menyemai nilai baik dalam kehidupan.

“Anda mahu membina perwatakan? Maka ajar mereka makna kejujuran, integriti dan kerja keras,” tulisnya dalam blognya hari ini.

Razali dilaporkan berkata, solat berjemaah juga boleh membantu memperkukuhkan ketahanan diri pelajar daripada terbabit dalam kegiatan negatif dan masalah sosial.

“Demi kecemerlangan murid-murid, kita meletakkan 5 fokus utama iaitu pembinaan karektor, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kemahiran berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, pemimpin pertengahan (guru) dan bijak sifir.

“Untuk itu, setiap sekolah menganjurkan solat berjemaah di kawasan sekolah dan untuk itu (solat) jangan sempitkan pemikiran untuk membina surau baharu atau besarkan,” kata Razali.

Bagaimanapun, Zaid berkata, “ritual” sedemikian membebankan pelajar yang menurutnya sudah melakukan “ritual lain”.

“Ritual ini tidak dapat membantu pelajar Melayu menjadi lebih berpendidikan, memahami tanggungjawab peribadi atau lebih berdisiplin.

“Ia tidak perlu dan tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada persekolahan abad ke-21. Saya juga bersetuju dengan Abdul Razak Baginda yang berkata kita mempunyai ‘terlalu banyak agama’ di sekolah kita.”

Pada 28 November lalu, Razak dalam forum bertajuk “Pendidikan Malaysia: Ke Mana Arah Tuju kita” berkata, peningkatan pengaruh agama di sekolah memberi kesan negatif kepada sistem pendidikan.

“Pengaruh agama telah merayap, mengeluarkan sisi buruknya di sekolah dan institusi pendidikan kita. Ia mempunyai kesan negatif.

“Agama kini terlalu menonjol di sekolah, tetapi tiada seorang pun ahli politik berani mempersoalkan kesan buruk daripadanya kerana bimbang digelar anti-Islam,” kata penganalisis politik yang mengetuai badan pemikir, Pusat Hal Ehwal Sedunia (Icon).

Ambil guru baik

Zaid berkata, Kementerian Pendidikan perlu mengelak daripada “melaksanakan pelbagai tanggungjawab agama ke atas pelajar”.

“Beri mereka pendidikan yang betul. Tak mengapa jika ada yang tidak layak menjadi imam.

“Mula ambil guru yang baik, bukan mereka yang hanya tahu tentang ritual agama, tetapi pendidik yang pandai dalam pelbagai disiplin akademik.

“Dengan cara itu, pelajar yang kebanyakannya berasal daripada golongan berpendapatan rendah berpeluang cemerlang seperti rakan mereka yang kaya di sekolah swasta.”

Beliau turut mendakwa peningkatan ritual agama di sekolah ialah satu lagi petanda “pemimpin Umno, pendidik dan pegawai hilang akal”.

“Ia jelas menunjukkan mereka tiada minat atau kemahiran lain untuk disampaikan kepada pelajar. Pendidik ini nampaknya tiada kemampuan apabila bercakap mengenai pendidikan moden.

“Hanya agama dan tuhan yang memberi mereka sesuatu untuk dikatakan kerana kedua-dua subjek tidak memerlukan standard kecekapan dan tiada persekitaran kompetitif untuk cemerlang.”

Katanya, untuk pendidik sedemikian, ritual mudah dilaksanakan kerana mereka boleh meletak unsur ketakutan ke atas pelajar, tanpa perlu mereka memahami keseluruhan prosesnya.

“Mungkin pendidik ini tidak tahu apa maksud pembinaan perwatakan. Mungkin mereka sibuk cuba memuaskan hati ahli politik Umno sehingga mengabaikan kerja mereka dan lupa apa yang baik untuk pelajar.”

Dahulu tiada polis moral

Zaid bagaimanapun memuji kejayaan umat Islam dalam pelbagai bidang beberapa dekad dulu.

“Lelaki dan wanita generasi terdahulu tidak mempunyai tahap atau keamatan ritual agama hari ini, sama ada di sekolah atau tempat awam.

“Tiada polis moral yang akan mencari mereka yang tidak menunaikan solat Jumaat atau bersama gadis di pusat joget.

“Mereka bagaimanapun melakukan dengan baik sebagai penjawat awam, hakim, wartawan, anggota polis dan pemimpin politik.”

Katanya, ini kerana orang seperti itu bangga dengan profesionalisme dan memahami kehormatan dan integriti untuk berkhidmat kepada orang ramai.

“Mereka hidup secara sederhana. Ia bukan cara mereka untuk menayang ketakwaan. Itulah karektor.

“Pengajaran hidup boleh dipelajari di banyak tempat, pelbagai cara dan daripada ramai orang kerana pembinaan perwatakan lebih daripada sekadar membaca ayat-ayat.”

‘Sekolah di Kuantan wajib solat berjemaah sebelum pelajar pulang’

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.