Projek di Merapoh sedia dihentikan, kata Adnan

Projek di Merapoh sedia dihentikan, kata Adnan

Isu pembalakan Merapoh hangat dengan penglibatan NGO alam sekitar mewujudkan kumpulan masyarakat antarabangsa di laman sosial #savemerapoh.

Adnan-Yaakob_pembalakan_new600
KUANTAN:
Kerajaan Pahang bersedia membatalkan projek pembalakan dan pembangunan di Hutan Merapoh Lipis, mengambil kira kepentingannya sebagai kawasan tadahan air.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata pembatalan itu boleh dilakukan dan akan dilakukan lebih awal sekiranya beliau dimaklumkan mengenai projek berkenaan pada peringkat awal.

Adnan menambah, projek pembalakan di kawasan itu di bawah Yayasan Pahang (YP) manakala kerja pembangunan membuka ladang kelapa sawit berlaku di tanah milik Lembaga Kemajuan Pertanian Pahang (LKPP).

“Pembalakan oleh YP itu duitnya digunakan untuk beri biasiswa (kepada anak Pahang yang melanjutkan pelajaran). Tanah LKPP pula diberikan pada tahun 1992. Sekarang ini masalahnya kita diberitahu lambat.

“Kalau penting untuk kawasan tadahan air, kita boleh batalkan untuk balak, LKPP cari kawasan lain untuk kelapa sawit… bukan payah sangat sebab menteri besar ialah pengerusi YP dan LKPP,” katanya.

Adnan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sebuah persidangan pembangunan sumber galian di Malaysia hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) Datuk Seri Dr Hamim Samuri.

Beliau mengingatkan mereka yang mempunyai pengetahuan berhubung projek dikhuatiri menjejaskan alam sekitar untuk memaklumkan perkara itu kepada beliau dengan segera, bukannya menunggu sehingga kerosakan berlaku.

“Jangan hutan sudah ditebang baru beritahu. Kita hendakkan bekerjasama… jangan nampak hanya menteri besar yang tak elok. Tak akan menteri besar nak kena bawa pita ukur untuk ukur semua,” katanya.

Isu pembalakan di Merapoh hangat sejak penghujung Oktober lalu dengan penglibatan NGO alam sekitar yang mewujudkan kumpulan masyarakat antarabangsa di laman sosial #savemerapoh.

Pembalakan bagi tujuan membuat jalan untuk kerja membawa hasil hutan, sebelum kerja membuat ladang kepala sawit, juga mendapat perhatian kerajaan persekutuan.

Pada 30 November, Menteri NRE Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata telah mengeluarkan arahan kepada ketua pengarah Jabatan Alam Sekitar supaya mengeluarkan perintah berhenti kerja kepada semua aktiviti di hutan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.