KM Sarawak kata debat MA63 ‘paloi’ dibidas Pandikar

KM Sarawak kata debat MA63 ‘paloi’ dibidas Pandikar

Abang Johari Openg berkata cabaran speaker Dewan Rakyat berdebat isu hak Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 'paloi', atau bodoh dalam istilah orang Malaysia Timur.

Abang-Johari-Abang-Openg_pandikar_new_600
PETALING JAYA:
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia membidas tindakan Ketua Menteri Sarawak Datuk Abang Johari Openg menepis cabaran berdebat isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai “paloi” (bodoh).

Pandikar dalam kenyataan kecewa ada pemimpin yang menganggap diri mereka elit tidak sanggup berbahas dengan “budak-budak paloi”.

“Budak budak yang di anggap ‘paloi’ ini secara kebetulan pula diberi kepercayaan oleh pihak yang lebih berkuasa dari orang yang menganggap dirinya pemimpin elit,” katanya.

“Saya ingin bertanya pada pemimpin elit ini, ‘paloi’ juga kah orang yang memberi kepercayaan kapada orang ‘paloi’ ini?,” tambahnya.

Johari, yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), di mesyuarat parti Zon Kuching hari ini dilapor berkata tiada keperluan untuk mengadakan debat kerana ia bukan saluran terbaik menuntut Sarawak diberi hak autonomi yang lebih luas.

“Ada orang itu hendak ajak saya berdebat, tapi untuk apa hendak berdebat dengan dia? Macam budak-budak. Paloi!,” katanya.

“Sebaliknya kita Sarawak ada maruah dan cara untuk berunding dengan persekutuan,” tambahnya.

Kontroversi berkaitan perkara itu timbul apabila Pandikar, seorang anak jati Sabah, pada 27 November berkata tiada sebab untuk menuntut Sabah dan Sarawak diberi kedudukan sama taraf dengan Tanah Melayu.

Ini kerana semua negeri di Malaysia adalah sama taraf, katanya.

Pandikar berkata beliau sudi berdebat isu itu di luar Parlimen.

Beliau menyalahkan “suara-suara tidak bertanggungjawab di luar sana” kerana mengatakan hak Sabah dan Sarawak sudah diambil.

Johari bagaimanapun berbeza pendapat dan menegaskan MA63 dokumen yang sangat penting kerana ia menjadi asas kepada hak wilayah Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu.

Menjawab perkara itu, Pandikar pada Khamis berkata beliau tidak kisah jika Johari tidak bersetuju dengan pandangannya.

Ditanya sama ada beliau sedia berdebat dengan Johari, Pandikar berkata: “Jika beliau mahu berdebat dengan saya, saya alu-alukan”.

Semalam, Ketua Pemuda BN Sarawak Datuk Fadillah Yusof mengkritik Pandikar, meminta beliau untuk tidak “ajar” rakyat Sarawak mengenai kedudukan negeri itu di Malaysia dan kepentingan MA63.

Beliau berkata Pandikar berhak menyuarakan pandangan peribadi tetapi tidak perlu mencabar Johari berdebat.

Fadillah berkata Pandikar juga bukan individu yang diberi mandat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk melihat tuntutan Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.