Jenazah bekas SUA Asean Surin Pitsuwan selamat dikebumikan

Jenazah bekas SUA Asean Surin Pitsuwan selamat dikebumikan

Raja Maha Vajiralongkorn, Puteri Chakri Sirindhorn serta Puteri Soamsawali menghantar wakil mereka ke upacara pengebumian dan menyediakan 'tanah diraja' untuk upacara pengebumian.

Dr-Surin-Pitsuwan
BANGKOK:
Jenazah bekas setiausaha agung Asean Dr Surin Pitsuwan yang meninggal dunia semalam selepas serangan jantung dikebumikan hari ini.

Jenazah negarawan berusia 68 tahun itu dikebumikan kira-kira 4.30 petang (waktu tempatan) di tanah perkuburan Islam bersebelahan Masjid Tha I, di Nonthaburi, Bangkok tidak jauh dari kediamannya dengan dihadiri beratus rakyat dari kalangan masyarakat Islam tempatan.

Ratusan orang termasuk semua anak lelakinya menyertai solat jenazah di masjid sama.

Raja Maha Vajiralongkorn dan Puteri Chakri Sirindhorn serta Puteri Soamsawali menghantar wakil mereka ke upacara pengebumian dan menyediakan “tanah diraja” untuk upacara pengebumian.

Beliau meninggal dunia kira-kira 3.00 petang (waktu tempatan) semalam selepas rebah di kediamannya ketika sedang bersiap untuk menghadiri Perhimpunan Halal Thailand 2017 di Bitec Bangna.

Surin dikejarkan ke Hospital Ramkhamhaeng tetapi disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Antara kenamaan yang melawat kediamannya hari ini ialah bekas Perdana Menteri Chuan Leekpai yang kekal sebagai penasihat kepada Parti Demokrat itu dan pemimpin kanan parti selain ahli politik dan anggota komuniti diplomatik.

Surin ialah timbalan menteri luar Thailand sejak 1992 hingga 1995 sebelum dilantik sebagai menteri luar Thailand pada 1997 hingga 2001 bawah kepimpinan Leekpai.

Pada 1 Januari, 2008, beliau dinamakan setiausaha agung Asean.

Surin yang berasal dari Nakhon Si Thammarat meninggalkan seorang isteri, Alisa dan 3 orang anak. Beliau menjadi setiausaha agung Asean selama 5 tahun dengan melakar banyak pencapaian dalam bidang diplomatik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Suwaphan Tanyuwattana mewakili Perdana Menteri Jen Prayut Chan-o-cha juga mengunjungi kediaman Surin untuk menyampaikan ucapan takziah daripada kerajaan Thailand.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.