Pejabat MB kesal maklumat bocor sebelum anak saudara Azmin ditahan

Pejabat MB kesal maklumat bocor sebelum anak saudara Azmin ditahan

Pejabat menteri besar Selangor mendakwa kebocoran itu menggambarkan wujud konspirasi untuk memburukkan reputasi Azmin dan kerajaan Selangor menjelang PRU14.

Yin-Shao-Loong-kesal-maklumat-bocor-sebelum-anak-saudara-Azmin-ditahan
PETALING JAYA: Pejabat menteri besar Selangor kesal tangkapan anak saudara Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali yang disiasat berhubung dakwaan terlibat dalam aktiviti perlombongan pasir haram terbocor secara meluas di media sosial dan blog sebelum penahanan dilakukan.

Pengarah Komunikasi Strategik Yin Shao Loong berkata kebocoran itu menggambarkan wujudnya “konspirasi jahat” untuk memburukkan reputasi Azmin dan kerajaan Selangor menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

Pejabat menteri besar berkata pentadbiran Azmin berharap proses siasatan dijalankan secara profesional, telus dan mengikut lunas undang-undang tanpa dipengaruhi mana-mana pihak tertinggi yang berkepentingan.

“Kita tidak mempersoalkan tanggungjawab SPRM untuk menjalankan sebarang siasatan. Namun, dalam kes ini, kita kesal kerana pembocoran maklumat secara meluas melalui media sosial dan blogger Umno sebelum penahanan tersebut dilakukan.

“Barangkali diingat, siasatan ini jangan digunakan sebagai alat untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap skandal rasuah dan amalan kleptokrasi berskala besar yang melibatkan pemimpin negara,” kata Yin dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, mahkamah majistret membenarkan reman 7 hari terhadap seorang anak saudara Azmin dan 3 individu lain atas tuduhan rasuah melibatkan projek perlombongan pasir.

Majistret Ainna Sherina Saipolamin membenarkan SPRM menahan reman keempat-empat mereka sehingga 6 Disember ini.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 16 (b) (B) kerana memberi suapan berkait projek lombong pasir pada 2014. Media melaporkan anak saudara Azmin itu ditangkap semalam dan difahamkan beberapa akaun syarikat bernilai sehingga RM4 juta dibekukan.

Anak saudara Azmin direman seminggu

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.