
Kartun yang disiasat kali ini memaparkan 5 tabung ayam “dipecahkan”. Setiap tabung ayam itu dilabel dengan nama pelbagai syarikat dan dana berkaitan kerajaan (GLC).
Bercakap kepada pemberita selepas keterangannya direkod di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Zunar berkata beliau memilih untuk berdiam diri sepanjang soal siasat selama sejam itu.
“Mereka bertanya 10 soalan kepada saya tentang begaimana saya memuat naik imej itu di Facebook dan tentang watak dalam kartun itu.
“Polis juga mengambil telefon bimbit saya atas tujuan siasatan forensik,” katanya yang menambah, siasatan itu diadakan selepas aduan polis dibuat pada Ogos.
Zunar, atau nama sebenarnya, Zulkiflee SM Anwar Ulhaque, berkata ianya bergantung kepada rakyat untuk menafsir maksud lukisan itu dan beliau tidak mahu jelaskannya lebih lanjut.
Peguam Zunar, Farhanna Rosli berkata, polis sedang menyiasat kartun itu bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
November tahun lepas, Zunar ditahan dan disiasat oleh polis Pulau Pinang atas dakwaan menghina Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menerusi salah satu lukisannya.
Pemimpin Pemuda Umno Pulau Pinang, Mohd Norhiesam Ismail membuat aduan terhadap Zunar, mengatakan perbuatan kartunis itu menunjukkan pemimpin kebangsaan seperti Najib secara negatif tidak dapat diterima.
Ahli Pemuda Umno meminta Zunar menurunkan lukisannya yang dipersembahkan di Festival Sastera George Town di Komtar, George Town.
Kekecohan yang tercetus akibat lukisannya mengakibatkan Zunar terpaksa membatalkan pertunjukan itu atas sebab keselamatan.
Kurang sebulan selepas siasatan di Pulau Pinang itu, Zunar kemudian ditangkap lagi sekali oleh polis Dang Wangi di majlis kutipan dana “Tea with Zunar” pada 17 Disember.
Beliau disiasat bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan kerana aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.
Zunar kemudian memfailkan tuntutan terhadap polis dan kerajaan, mendakwa beliau ditangkap secara salah.
Beliau juga mendakwa buku-bukunya dan baju T dirampas tanpa sebarang sebab dan beliau meminta polis dan kerajaan memulangkan 1,187 buku dan 103 baju T yang dirampas.
Zunar juga berdepan 9 tuduhan menghasut kerana didakwa menghina badan kehakiman di akaun Twitter miliknya.