
Sehubungan itu, mereka menggabungkan 3 buku kerja menjadi satu yang dijual pada harga RM9.90 (subjek sains dan matematik) hingga RM13.90 (subjek bahasa Cina) di Semenanjung Malaysia.
Sin Chew Daily memetik seorang penerbit tempatan sebagai berkata, hanya penerbit yang mengeluarkan buku kerja untuk sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) terjejas dengan dasar 1 buku kerja setiap subjek kerana semuanya sudah siap dicetak sebelum Kementerian Pendidikan mengumumkan dasar itu pada 11 Oktober lalu.
Beliau berkata, Malaysia mempunyai kira-kira 10 penerbit buku kerja, di mana 3 hingga 4 daripadanya terpaksa membuat perubahan dengan memperkenalkan buku kerja 3 dalam 1 dan beliau menjangkakan hanya 20% hingga 30% SJKC akan memilih buku kerja itu.
Katanya, kadar jualan jatuh mendadak sekurang-kurangnya 50% dan suntikan dana besar untuk penerbitan buku kerja ialah faktor memaksa sebilangan kecil penerbit kebuntuan menggabungkan 3 buku kerja menjadi satu.
Beliau tidak menerbitkan buku kerja 3 dalam 1 kerana syarikatnya ada mengeluarkan buku teks dan buku kerja sekolah kebangsaan untuk menyeimbangkan jualan.
Jumaat lalu, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon memberi amaran kepada pihak sekolah supaya tidak mencabar kerajaan dengan menggunakan helah menggabungkan 3 buku kerja menjadi satu dan menjualnya pada harga lebih mahal kepada ibu bapa.
Beliau dilaporkan berkata, pihaknya menerima aduan ibu bapa mendakwa sekolah menggabungkan buku kerja 30 muka surat kepada 90 halaman dan menjualnya kepada murid pada harga 2 atau 3 buku kerja.
Katanya, Kementerian Pendidikan sudah menyediakan 1 buku kerja untuk setiap mata pelajaran dan pihak sekolah boleh menambah 1 lagi buku kerja yang bermakna semuanya berjumlah 10 buku kerja.
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 1/2000 jelas menyatakan penggunaan buku kerja tidak dibenarkan kepada murid darjah 1 hingga 3 kerana buku latihan aktiviti sudah disediakan Bahagian Buku Teks Kementerian Pendidikan.
Bagi murid darjah 4 hingga 6 pula, hanya 1 buku kerja dibenarkan bagi setiap subjek Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik dan Sains serta bahasa Cina dan bahasa Tamil.