SPRM di peringkat akhir siapkan kertas siasatan FGV, kilang haram

SPRM di peringkat akhir siapkan kertas siasatan FGV, kilang haram

Ketua pesuruhjaya SPRM berkata, pihaknya akan mengemukakan kedua-dua kertas siasatan itu kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

dzul-sprm-kg-sg-lemb
BUKIT MERTAJAM:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini di peringkat akhir menyiapkan kertas siasatan berhubung kes sebuah kilang beroperasi secara haram di Kampung Sungai Lembu, di sini, sejak 10 tahun lepas.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, pihaknya akan mengemukakan kertas siasatan itu kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

“Saya tak nak nyatakan masa yang spesifik…selepas (siasatan) selesai sahaja kami akan kemukakan kertas siasatan tersebut kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya selepas menyerahkan bantuan mangsa banjir di Taman Makok hari ini.

Hampir 600 mangsa banjir di kawasan itu menerima bantuan antaranya tilam, pakaian dan barang keperluan seperti beras, minyak masak dan gula.

Pada 10 Ogos lepas, SPRM menjalankan operasi di kilang haram memproses serbuk kayu di Kampung Sungai Lembu yang dipercayai mencemari alam sekitar.

SPRM turut mengambil beberapa dokumen daripada pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda bagi membantu siasatan kes tersebut.

Susulan itu, SPRM menahan Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh dan 2 beranak yang merupakan pengarah dan pengurus kilang tersebut bagi membantu siasatan.

Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitkan Adun Penanti daripada PKR, Dr Norlela Ariffin pada sidang Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut kerajaan negeri.

Sementara itu, Dzulkifli ketika ditanya perkembangan kes Felda Global Ventures (FGV) berkata, kertas siasatan kes itu juga di peringkat akhir dan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara selepas siasatan siap.

SPRM memulakan siasatan terhadap FGV Jun lepas, termasuk memanggil bekas pengerusi FGV, Tan Sri Isa Samad dan Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad untuk memberi keterangan berhubung beberapa dakwaan, termasuk penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.

Sebelum SPRM memulakan siasatan itu, FGV mengalami kemelut dalaman apabila Isa dan Lembaga Pengarah mengarahkan Zakaria, Ketua Pegawai Kewangan FGV, Ahmad Tifli Mohd Talha, Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar dan Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products, Kamarzaman Abd Karim bercuti mulai 6 Jun lepas.

Susulan krisis itu, kerajaan melantik bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala sebagai orang tengah bagi mencari penyelesaian kepada krisis itu sebelum melantik Ketua Pengarah di Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob sebagai pemangku pengerusi FGV menggantikan Isa yang meletak jawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.