
Beliau berkata kawalan kualiti calon pilihan raya harus lebih ketat, seolah-olah menghantar petanding ke pertandingan ratu cantik “Miss World”.
“Umno kena berani letakkan calon yang buat pengundi ghairah, disukai, serta diterima baik masyarakat. Bukannya calon ‘kelakar’,” kata Muhammad pada sidang media di ibu pejabat Umno Selangor hari ini.
“Calon ini mestilah macam nak masuk ‘Miss World’. Kita kena hantar calon yang terbaik dari semua segi dan selepas itu kata kita ini ‘calon Malaysia’,” tegasnya.
Muhammad berkata calon yang gemar menabur duit dan tidak peduli kehadiran di Parlimen harus digugurkan dan diganti dengan calon yang berwawasan dan serius dengan tanggungjawabnya.
Beliau menamakan pengerusi Permodalan Nasional Bhd dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Wahid Omar antara pemimpin yang perlu Umno contohi ketika memilih calon.
“Kali ini, orang nak tengok calon yang diletakkan DAP, PAS dan PPBM. Kalau mereka letak profesional dan Umno letak calon lekeh, macam mana kita nak suruh orang undi calon kita?”
Beliau berkata orang zaman sosial mempunyai persepsi negatif terhadap pemimpin yang gemar menabur duit kepada penyokong, malah pemilihan orang berduit sebagai ketua memberi mesej yang salah.
“Bermakna hanya orang berduit akan menang dan jadi ketua namun tidak ada idea untuk memimpin. Hanya mahu pegang jawatan dan kemudian minta projek untuk jadi lebih kaya. Bila dah kaya, apa dia peduli orang bawah?
“Bila waktu hendak mengundi di Parlimen dia tidak datang. Apa guna jadi pemimpin sombong, angkuh, tidak peduli kehadiran di Parlimen? Orang macam ini patut digugurkan,” katanya.
Walaupun tarikh sebenar PRU14 masih belum diketahui, namun mandat untuk BN memerintah akan tamat pada Ogos, memandangkan pilihan raya perlu diadakan sebelum 24 Ogos 2018.
Pada PRU 2013, lebih 50% undi popular pergi kepada gabungan PKR, DAP dan PAS, namun kelebihan kerusi memastikan BN membentuk kerajaan persekutuan.