
Akhbar Daily Trust melaporkan peruntukan yang diluluskan Majlis Eksekutif Persekutuan Nigeria, Rabu lalu dipertikaikan pelbagai pihak.
Menteri Bajet dan Perancangan Nasional Nigeria, Udoma Udo Udoma yang mendedahkan perkara itu selepas mesyuarat Kabinet berkata, kumpulan pakar itu akan mengenal pasti pihak berkepentingan relevan dalam sektor awam dan swasta untuk membantu pelaksanaan Pelan Pertumbuhan dan Pemulihan Ekonomi (ERGP).
Katanya, mereka diberi tempoh 13 minggu untuk menjalankan kajian ke atas sektor pertanian, pengangkutan, pembuatan dan pemprosesan serta tenaga dan gas.
Tanpa mendedahkan identiti kumpulan itu, beliau berkata, perunding ekonomi berkenaan pernah melakukan perkara sama di Malaysia dan mereka hanya membantu di peringkat permulaan, sebelum Nigeria mengambil alih dan meneruskan tahap seterusnya.
Sementara itu, Gabenor Negeri Ekiti, Ayodele Fayose berkata, langkah itu menunjukkan kerajaan langsung tidak tahu menyelesaikan krisis ekonominya dan Presiden, Muhammadu Buhari serta pemimpin lain mengakui mereka tidak mampu mentadbir negara sendiri.
“Tindakan kerajaan persekutuan itu ialah undi tidak percaya terhadap kerajaan pimpinan Muhammadu Buhari dan pakar ekonomi negara.”
Beliau turut menyifatkan tindakan membayar perunding asing untuk memulihkan ekonomi Nigeria sebagai memalukan memandangkan negara itu mempunyai ramai pakar ekonomi termasuk Presiden Bank Pembangunan Afrika, Dr Akinwumi Adesina serta Naib Presiden merangkap Bendahari Bank Dunia, Arunma Oteh.