
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, kelulusan sudah diberikan kepada Bandar Malaysia dan TRX City secara dasar.
“Kalau kelulusan yang awal diberi, kita tidak akan memberi satu kaedah di mana untuk menahan pembangunan yang akan dilaksanakan di kawasan tersebut,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Ku Nan menjawab soalan Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) yang ingin tahu jika 2 projek itu termasuk dalam senarai pembekuan projek mewah seperti diarahkan Kabinet.
Pada 19 November lalu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengesahkan Kabinet mengarahkan pengeluaran permit dibekukan kepada pemaju yang hendak membina pusat beli-belah, bangunan komersial dan kondominium berharga RM1 juta ke atas, berkuat kuasa awal bulan ini.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan projek perumahan berharga RM300,000 ke bawah boleh diteruskan dan permit pembinaan dibenarkan untuk sesetengah negeri yang mempunyai keperluan terhadap hartanah.
Pada 17 November lalu, Bernama memetik Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim sebagai berkata, ketidakseimbangan pasaran hartanah boleh memberi risiko besar ke atas keseluruhan ekonomi sekiranya berlaku kejutan.
Beliau berkata, Malaysia mencatatkan hartanah kediaman tidak terjual yang tinggi, iaitu 130,690 unit bagi tempoh sehingga suku pertama 2017, khususnya rumah berharga lebih RM250,000 manakala kadar kekosongan pejabat dijangka mencecah 32% pada 2021.
Katanya, kira-kira 140 pusat beli-belah akan menyertai pasaran hartanah di negeri utama menjelang 2021 dan ia akan memburukkan lagi lebihan penawaran serta berpotensi menjadi lebih teruk berbanding semasa krisis kewangan Asia (1997).
Menurut BNM, masalah lambakan kediaman tidak terjual dan ruang komersial kosong paling teruk di Johor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Selangor.
Statistik BNM turut menunjukkan kadar kekosongan pejabat ketika ini paling serius di Lembah Klang sebanyak 24%, manakala kira-kira 130,690 unit kediaman tidak terjual sehingga suku pertama tahun ini, di mana 83% daripadanya berharga melebihi RM250,000.