Hariri julung kali jejak kaki ke Lubnan sejak letak jawatan

Hariri julung kali jejak kaki ke Lubnan sejak letak jawatan

Pegawai kerajaan Lubnan dan ahli politik yang rapat dengan Hariri mendakwa Arab Saudi memaksa perdana menteri itu meletak jawatan dan menahannya secara paksa di Riyadh

hariri
BEIRUT:
Bekas perdana menteri Lubnan, Saad Hariri kembali ke Beirut pada Selasa buat julung kalinya sejak beliau meletak jawatan awal bulan ini.

Hariri, sekutu lama Arab Saudi, bimbang akan dibunuh dan campur tangan Iran serta Hizbullah di dunia Arab ketika beliau mengumumkan peletakan jawatan secara mengejut melalui kenyataan di televisyen dari Riyadh, pada 4 November lalu.

Tindakan Hariri itu mengejutkan pembantunya dan pegawai kerajaan Lubnan serta ahli politik yang rapat dengannya mendakwa Arab Saudi memaksa Hariri meletak jawatan dan menahannya secara paksa di Riyadh.

Riyadh dan Hariri bagaimanapun menafikan dakwaan itu.

Presiden Lubnan, Michel Aoun yang menghantar wakil meminta negara lain memastikan Hariri selamat pulang dari Arab Saudi, enggan menerima peletakan jawatannya sehingga beliau kembali menyerahkan surat itu sendiri.

Setibanya di lapangan terbang Beirut, Hariri terus ke kubur bapanya, Rafik Hariri, yang terbunuh dalam serangan bom di Beirut pada 2005 dan memaksa beliau menceburi politik sebagai pengganti.

Ditanya apakah mesej untuk rakyat Lubnan yang kebanyakannya bersatu menuntut kepulangannya, Hariri berkata: “Terima kasih”.

Hariri dijangka menghadiri sambutan Hari Kemerdekaan Lubnan, hari ini.

Terdahulu, Hariri ketika menemui Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi di Kaherah berkata, beliau akan mengumumkan “kedudukan politiknya” selepas pulang ke Lubnan.

Tidak jelas jika beliau masih kekal atau akan menarik balik keputusan peletakan jawatannya.

Dalam satu wawancara dengan sebuah stesen televisyen miliknya di Arab Saudi pada 12 November lalu, Hariri berkata, beliau akan kembali ke Lubnan untuk mengesahkan peletakan jawatannya.

Tetapi, beliau turut menyuarakan kemungkinan akan menarik balik keputusan itu, jika Hizbullah menghormati dasar Lubnan tidak campur tangan dalam konflik serantau, khasnya Yaman.

Susulan campur tangan Perancis, Hariri berlepas dari Riyadh ke Paris hujung minggu lalu. Beliau kemudiannya terbang ke Beirut dari Cyprus, di mana beliau berhenti untuk menemui Presiden, Nicos Anastasiades selama 45 minit.

Dalam mesyuarat bersama presiden Mesir, Hariri berkata, beliau membincangkan kestabilan Lubnan dan keperluan menjauhkan Lubnan daripada “semua politik serantau”.

Lubnan minta Arab Saudi jelaskan kehilangan PM Hariri

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.