
“Walaupun mereka kata tidak dapat sambutan, hanya beberapa kerat sahaja turun, tuan-tuan jangan lupa setiap kali kita buat ‘live’ Facebook, berpuluh ribu yang menonton.
“Kita juga mendapat sokongan setiap kereta yang lalu, mereka memberi hon termasuk Ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN),” katanya pada sidang media bersama pemimpin PH di depan Parlimen hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Amanah Dr Hatta Ramli berkata walaupun jumlah yang turun di lapangan agak hambar, tunjuk perasaan itu mewakili rakyat yang membantah kenaikan harga minyak.
“Rasa tidak puas hati banyak cara boleh tunjukkan, ada yang berhimpun, ada yang berharap-harap, ada yang berdoa. Jadi kombinasi ini akan menghasilkan mesej kepada kerajaan,” katanya.
Beliau bagaimanapun merasakan lebih baik rakyat turun beramai-ramai menunjukkan perasaan tidak puas hati supaya mesej lebih jelas disampaikan kepada pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.
Semalam media melaporkan himpunan yang bermula malam Isnin kurang mendapat sambutan apabila hanya 20 orang menyertainya dan jumlah itu berkurangan menjelang petang semalam. Lapan orang masih berhimpun walaupun hujan lebat dan rampasan khemah oleh pihak berkuasa, dan dijangka meneruskan bantahan sehingga jam 6.00 petang sebaik sahaja harga minyak baharu diumumkan.
“Hujan lebat. Kami masih meneruskan ‘flashmob’ di depan Parlimen walau tanpa tempat berteduh. Tanpa khemah dan kami akan terus di sini,” katanya Naib Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir.
Dalam sidang media sama, Pemuda PH turut melancarkan kempen “Turun Harga Minyak, Turun Najib” atau “Turun Turun” bagi mendesak kerajaan segera mengembalikan subsidi bahan api sebanyak RM1 bilion, yang menurut mereka mampu mengurangkan harga sebanyak 20 sen untuk setiap liter minyak.
Kempen “Turun Turun” kesinambungan daripada protes berkhemah selama 42 jam di depan Parlimen, yang diadakan pada 21 November sehingga petang 22 November hari ini, apabila harga bagi RON95, RON97 dan diesel untuk minggu berikutnya diumumkan.
Protes tersebut diadakan selepas harga minyak mencatat rekod tertinggi – RON95 (RM2.38 seliter), RON97 (RM2.66 seliter) dan diesel (RM2.25 seliter), sejak kerajaan mula memperkenalkan sistem harga apungan mingguan.
Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata melalui kempen itu juga pihaknya akan mengadakan program penerangan di peringkat akar umbi termasuk rapat umum.
“Bersama Gerakan Turun Harga Minyak (Gertak), Pemuda PH juga akan meneruskan program ‘flashmob’ mingguan pada setiap Rabu dan menggerakkan petisyen bantahan bagi mewujudkan momentum bantahan yang berterusan,” katanya sambil memaklumkan himpunan kemuncak akan dibuat pada 31 Disember di Kuala Lumpur.
Antara pemimpin PH yang turut hadir ialah Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad; Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin; Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin; Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming; Ketua Pemuda Amanah, Sany Hamzan serta penyokong.