
Beliau berkata, secara saintifik pihaknya tidak melihat insiden seperti dobi mesra Islam, kontroversi membabitkan pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin dan larangan wanita Islam bekerja di hotel bertudung sebagai penentu keberkesanan konsep wasatiyyah.
“Beberapa insiden ini untuk kita tidak menafikan indikasi yang perlu kita ambil perhatian, namun secara saintifiknya, kita tidak lihat kepada satu dua perkara,” katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Datuk Seri Azmin Ali (PKR-Gombak) yang memintanya membuktikan keberkesanan konsep wasatiyyah, walaupun berlaku beberapa insiden yang mencetuskan kontroversi.
Terdahulu, Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) mendakwa Datuk Seri Najib Razak berjaya membawa konsep wasatiyyah kepada negara.
Jamil berkata, konsep wasatiyyah dan maqasid syariah diukur menggunakan Indeks Syariah Malaysia (ISM) yang diperkenalkan perdana menteri bagi menentukan komitmen dan kedudukan negara dalam urus tadbirnya.
“Ia merupakan kayu ukur kejayaan yang kita capai. Mungkin ramai yang mendakwa mereka sudah lakukan kebaikan kepada negara dan negeri masing-masing, namun apakah buktinya?
“Jadi, sebab itu melalui ISM yang diperkenalkan, kita mengukur kementerian yang melaksanakan hal-hal yang menjadi tanggungjawab dalam maqasid syariah dan pelaksanaan mengikut wasatiyyah.”
Pada 3 Ogos lalu, Bernama memetik Najib sebagai berkata, skor keseluruhan ISM bagi 2017 adalah 76.06%, meningkat 0.64% berbanding 75.43% pada 2015.
Bidang kesihatan mencatat skor 77.79%, prasarana dan persekitaran (72.89%), ekonomi (65.46%), sosial (72.28%), pendidikan (80.12%), politik (74.70%), perundangan (84.91%) dan budaya (64.67%).
ISM adalah kaedah pengukuran saintifik dan menyeluruh bagi mengukur kedudukan kerajaan dalam mentadbir negara berdasarkan 5 prinsip asas maqasid syariah, iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.
Najib dilaporkan berkata, penyelidikan ISM kali ke-2 itu membabitkan 222 penyelidik daripada 6 universiti awam dengan 27,292 responden, termasuk pembuat dasar (2,280); pelaksana dasar (6,555) dan masyarakat umum seramai 18,457 orang.
Najib melalui blognya, najibrazak.com pada 27 Mac lalu berkata, Kabinet meluluskan Dasar Wasatiyyah Negara pada 21 Oktober 2016 untuk mengekalkan keamanan dan keharmonian Negaraku.
Katanya, wasatiyyah yang berasaskan prinsip kesederhanaan, keseimbangan, kecemerlangan dan keadilan, penting bagi mengelakkan rakyat terperangkap dalam fahaman mahupun ideologi terlalu ekstrem atau liberal sehingga terjerumus ke kancah salah tafsir konsep jihad yang digunakan IS.
Lima objektif utama dasar itu ialah meningkatkan kefahaman rakyat Malaysia terhadap pendekatan wasatiyyah yang menjadi asas utama dalam setiap kehidupan; penyelesaian kepada permasalahan masyarakat yang dibelenggu isu ekstremisme dan radikalisme melampau serta integriti.
Memperkukuhkan penghayatan wasatiyyah bagi mewujudkan semangat toleransi rakyat yang tinggi; membangunkan bangsa Malaysia yang harmoni dalam menghayati nilai dan etika unggul berkonsepkan wasatiyyah dalam segenap kehidupan serta menjadikan wasatiyyah sebagai cara hidup rakyat dalam segenap aspek kehidupan seperti pendidikan, ekonomi, pentadbiran, sosial dan politik.