India naikkan duti import minyak sawit dari Malaysia sekali ganda

India naikkan duti import minyak sawit dari Malaysia sekali ganda

Duti import minyak sawit mentah dinaikkan daripada 7.5% kepada 15%, manakala minyak kacang soya dan minyak bunga matahari masing-masing dinaikkan kepada 17.5% dan 12.5%.

india-minyak-kelapa-sawit
KUALA LUMPUR: Kerajaan India menaikkan duti import ke atas minyak sawit mentah (MSM) Malaysia kepada 15% daripada 7.5% sebelum ini, untuk mengawal penghantaran lebih murah dan menyokong kilang penapisan tempatannya.

Cukai import ke atas minyak kacang soya dan minyak bunga matahari juga masing-masing dinaikkan kepada 17.5% dan 12.5%.

Pakar Produk Derivatif Kanan Phillip Futures Sdn Bhd, David Ng berkata, keputusan kerajaan India itu disebabkan kejatuhan harga minyak bijian di bawah paras harga sokongan minimum.

“Bagaimanapun, langkah itu akan menjejaskan eksport kita ke pasaran India yang ketika ini merekodkan 2.5 juta tan. Kita akan menyaksikan eksport MSM ke India berkurangan disebabkan kenaikan cukai import oleh kerajaan India,” katanya kepada Bernama.

Pada 27 Julai lalu, panel antara kementerian yang diketuai Menteri Kewangan India, Arun Jaitley menyemak semula ketersediaan minyak boleh makan dalam negara itu dan membincangkan kaedah untuk menangani peningkatan import.

Sebuah jawatankuasa ditubuhkan kerajaan India untuk meneliti struktur duti import bagi menyemak penghantaran minyak masak yang murah.

India mengimport kira-kira 14.5 juta tan minyak sayur-sayuran dari Malaysia dan Indonesia setiap tahun untuk memenuhi permintaan domestik.

Indonesia dan Malaysia menyumbang 85% pengeluaran MSM keseluruhan global dan 91% kepada eksport keseluruhan minyak sawit dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.