Projek pelabuhan mega di Pulau Carey ditunda?

Projek pelabuhan mega di Pulau Carey ditunda?

Akhbar Singapura melaporkan ia kerana beberapa perkembangan yang menyaksikan Pelabuhan Klang semakin merudum.

northport-mmc-logo
PETALING JAYA: Sebuah projek bernilai RM140 bilion untuk membina pelabuhan di Pulau Carey sebagai pelengkap kepada Pelabuhan Westport dan Northport kini terpaksa ditangguhkan, menurut akhbar Singapura, The Straits Times (ST) yang memetik sumber.

Projek itu melibatkan MMC Corp diketuai Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan pada asalnya merupakan usaha sama dengan syarikat China, China Merchant Group.

MMC kemudian dilaporkan akan bekerjasama dengan Adani Ports dari India dan Sime Darby, yang memiliki sebahagian besar tanah di Pulau Carey.

Menurut ST, aktiviti di Pelabuhan Klang yang semakin menurun ditambah dengan keputusan beberapa pakatan perkapalan untuk berpindah ke Singapura, memaksa rancangan itu ditunda buat masa ini.

Sebelum ini, FMT melaporkan kebimbangan pemain industri tempatan mengenai keadaan lengang di Pelabuhan Klang, yang merupakan pelabuhan utama di Malaysia.

Kunjungan ke pelabuhan utama negara itu mendapati ruang menempatkan kontena kebanyakannya kini kosong.

Data daripada pelabuhan Northport dan Westport di Klang menunjukkan pemunggahan kargo jatuh 8.4% pada suku ke-2 tahun ini kepada 3 juta TEU (unit bersamaan kontena 20 kaki) selepas perkembangan suku pertama pada 0.9%.

Pada 2015, Pelabuhan Klang disenaraikan pelabuhan kontena ke-12 paling sibuk di dunia.

September lalu, sumber memberitahu FMT, antara masalah dihadapi di Pelabuhan Klang ialah kadar tarif dan tempoh transit barangan 2 hari lebih panjang berbanding Singapura.

Menurut sumber itu, Singapura hanya mengenakan tarif terhadap beberapa barangan seperti rokok dan alkohol. Berbeza di Malaysia, setiap barangan yang tiba di pelabuhan akan dikenakan duti import.

Cadangan pelabuhan terbaharu di Pulau Carey meliputi kawasan selepas 100km persegi, di bawah zon bebas dagangan, serta mempunyai zon perumahan, komersil dan prasarana sokongan.

Ia dikatakan bagi menyaingi pelabuhan Singapura yang mempunyai kapasiti mengurus kargo yang lebih besar.

Pelabuhan Pulau Carey ‘melengkapkan’ Pelabuhan Klang

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.