‘Pengebom bunuh diri’ rai Halloween didenda RM400

‘Pengebom bunuh diri’ rai Halloween didenda RM400

Perunding IT warga Yaman itu memakai kostum pengebom bunuh diri di sebuah kondominium di Damansara pada 7.40 malam, 28 Oktober lepas.

damansara-halloween
PETALING JAYA:
Tindakan seorang perunding teknologi maklumat warga Yaman memakai kostum pengebom bunuh diri ketika menghadiri parti Halloween membawa padah apabila didenda maksimum RM400 atau penjara 4 hari jika gagal membayar denda itu oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Majistret Nurulhuda Zakariya menjatuhkan hukuman itu terhadap Amjad Jalal Ahmed Al-Dahan, 34, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris oleh jurubahasa mahkamah.

Dia didakwa melakukan mudarat awam dengan memakai kostum pengebom bunuh diri di tempat awam di sebuah kondominium di Damansara pada 7.40 malam, 28 Oktober lepas mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda maksimum RM400 jika sabit kesalahan.

Terdahulu peguam Puan Sri N Saraswathy Devi memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan anak guamnya direman seminggu dan memohon maaf atas perbuatannya.

Timbalan Pendakwa Raya Norazalina Razali memohon tertuduh dikenakan hukuman denda yang tinggi sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam kerana sukar untuk sesiapa membezakan antara lakonan dan realiti.

Sebelum ini media melaporkan, penduduk kondominium itu membuat laporan polis selepas melihat seorang lelaki berpakaian seperti pengebom bunuh diri ketika menaiki lif untuk menghadiri parti Halloween, bulan lepas.

‘Pengebom berani mati’ rai Halloween ditahan polis

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.