
Jamal berkata hanya 3% daripada 150,000 rumah di bawah program Rumah Selangorku yang dijanjikan sejak pembangkang mengambil alih pentadbiran negeri pada 2008 diserahkan kepada pembeli.
“Sedangkan sudah berapa tahun mereka janji, hampir 8 tahun pembinaan Rumah Selangorku dijanjikan kepada rakyat Selangor,” katanya kepada wartawan, sambil mendakwa mempunyai bukti “penipuan” kerajaan Selangor pimpinan Azmin.
Jamal berkata wakil rakyat dan exco kerajaan Selangor turut membisu mengenai projek Rumah Selangorku yang menurutnya gagal dilaksanakan mengikut jadual.
Pada 13 November lalu Jamal bertindak mendirikan khemah di luar tapak projek pembangunan Eco Majestic di Semenyih sebagai bantahan terhadap kerajaan negeri yang didakwa menipu rakyat menerusi skim Rumah Selangorku.
Beliau mencabar dakwaan kerajaan negeri yang projek Rumah Selangorku di Semenyih sudah siap dan dalam proses penyerahan kunci kepada pemilik.
Menurutnya, sehingga kini ada satu unit rumah di bawah projek itu di Semenyih, walaupun terdapat pelbagai projek perumahan mewah yang siap dibina sejak 2008.
Jamal berkata akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat sekumpulan exco Selangor yang didakwa mendapat beberapa unit rumah mewah di Eco World, Semenyih.
Ketua Pegawai Operasi Eco World, Datuk S Rajoo menyangkal dakwaan Jamal dengan berkata, sebanyak 12,862 unit rumah yang diluluskan kerajaan negeri akan dibina Eco World.
Katanya, 50% daripada jumlah itu yang bersamaan 6,431 unit terdiri daripada rumah mampu milik berharga antara RM42,000 dan RM220,000.
Bagaimanapun, Jamal mencabar Eco World menyaman beliau berhubung dakwaan beliau yang pemaju itu gagal membina unit Rumah Selangorku mengikut waktu ditetapkan.
“Saya berani lawan dengan Eco World. Saman saya, kalau saya tidak betul, saya tiada masalah kerana mereka bohong,” katanya.
Jamal mendakwa terdapat amalan kronisme dalam projek perumahan yang menurutnya mengutamakan penyokong kerajaan negeri.
“Berapa banyak rumah exco yang ada dalam Eco World, beri kepada wakil rakyat, penyokong exco kerajaan negeri,” katanya.
“SPRM tolong bertindak, kita tak mahu SPRM tidur. Macam-macam kita dah lapor. Kita lihat pihak SPRM Selangor tidur tak buat kerja,” katanya.
Jamal berkhemah 3 malam desak bina rumah mampu milik di Semenyih