
Timbalan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan mengambil sikap pragmatik dalam isu melibat negara-negara Teluk.
“Kami sentiasa pragmatik. Apabila tiba masanya kita perlu bercakap terus terang, kita akan berterus terang,” kata Reezal dalam ucapan Akta Perbekalan peringkat jawatankuasa hari ini.
Komen Reezal menjawab kebimbangan yang ditimbulkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang hari ini tentang penglibatan Malaysia dengan Arab Saudi, terutamanya pembinaan KSCIP di sini.
Penubuhan KSCIP dipersetujui dalam kunjungan pemerintah Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz, ke Malaysia pada Mac. Ia sebahagian usaha melawan pengaruh kumpulan militan IS.
Kerajaan Malaysia memperuntukkan 16 hektar tanah di Putrajaya untuk membina pusat itu, walaupun butiran operasi termasuk kakitangan tidak didedahkan.
Terdahulu, Tian Chua (PKR-Batu) mempersoalkan peranan Arab Saudi di pusat itu, dan berkata banyak negara lain boleh dicontohi dalam isu memerangi terorisme dan ekstremisme.
“Apa faedah bekerjasama dengan Arab Saudi? Ramai rakyat merasakan nilai yang dipegang Arab Saudi jauh lebih konservatif berbanding Malaysia.
“Kita juga persoalkan, dalam kita bekerjasama dengan Arab Saudi, adakah kita terheret ke dalam pertelingkahan politik dalaman mereka?” kata Tian Chua.
Reezal berkata KSCIP peluang untuk Malaysia tonjol kejayaan deradikalisasi dan memberi jaminan pusat itu dibina mengikut acuan Malaysia.
“Dalam lawatan ke negara-negara luar, boleh dikatakan pemimpin mereka tanya apakah rahsia di sebalik kejayaan deradikalisasi.”
Raja Kamarul Raja Bahrin Shah (Amanah-Kuala Terengganu) turut memberi pandangan dan berkata penceramah kontroversi Zamihan Mat Zin, yang terlibat dalam usaha deradikalisasi di Malaysia, juga tidak setuju dengan penubuhan pusat itu di Malaysia.
Khalid Abd Samad (Amanah-Shah Alam), sementara itu mempersoalkan pendirian Malaysia, memandangkan hubungan antara Arab Saudi dan Qatar, dan memberi amaran akan ada kesan buruk jika Malaysia dilihat terlalu mesra dengan Raja Salman.
“Bacaan dunia luar tentang perkembangan di Timur Tengah terutamanya Arab Saudi ialah satu perebutan kuasa dan pembersihan.
“Bersikap pragmatik tidak bermaksud berterus terang. Bersikap pragmatif bermaksud kamu mesti bersedia berdepan pasukan A atau pasukan B menang. Apa reaksi kita?” kata Khalid.
Reezal (BN-Kepala Batas) menegaskan pendekatan pragmatik dalam dasar luar negara Malaysia tidak berubah.
“Saya ambil maklum kebimbangan yang dibangkitkan. Apabila 2 negara bertembung – Arab Saudi dan Qatar – kita masih ada hubungan baik dengan Qatar. Kita terima kunjungan Emir Qatar dan banyak perjanjian dicapai.
“Kalau kita terlalu berpihak kepada Arab Saudi sahaja, tentu sekali kita takkan berada dalam hubungan kerjasama dengan Qatar.
“Apabila tiba masanya kita perlu bercakap terus terang, kita akan berterus terang.”