

Ketua Pemuda MCA Bahagian Tanjung, Lim Swee Bok berkata, ia adalah tanggungjawabnya untuk menanggung kos pengebumian itu dan kesan tidak segera menola tawaran kerajaan Pulau Pinang serta MCA.
“Disebabkan amalan budaya dan agama, biarlah saya bertanggungjawab sepenuhnya ke atas perbelanjaan pengebumian keluarga saya.
“Saya mohon maaf dan berharap semua pihak memahami komitmen saya untuk melakukan apa sahaja yang perlu untuk kehilangan keluarga saya,” katanya ketika dihubungi.
Penyelia kilang berusia 36 tahun itu berterima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat tentang keadaannya.
“Saya kehilangan segalanya dan saya sangat sedih.
“Saya berterima kasih kepada semua, termasuk pemimpin dan rakan MCA yang membantu saya.”
Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melawat Swee Bok dan menawarkan sumbangan RM3,500 manakala Adun DAP, Lau Keng Ee pula menyumbang RM2,000.
Guan Eng berkata, kerajaan negeri akan menanggung semua perbelanjaan pengebumian itu.
Ia disusuli Ketua Pemuda MCA, Datuk Chong Sin Woon yang berkata, parti itu turut menawarkan diri untuk membantu Swee Bok.

Pagi ini, Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan timbalannya, Datuk Seri Wee Ka Siong memberikan penghormatan terakhir kepada 4 ahli keluarga Swee Bok di Flat Sri Saujana, di sini.
Lau Sai Poh, 62, bersama isteri Swee Bok, Chen Yen, 35, anak lelaki Lim Yih Chun, 9, dan anak perempuan Lim Jia Yiin, 8, terkorban dalam kebakaran di rumah mereka di Pintasan Cecil 5, pada 6 pagi semalam.
Ketika kejadian, Swee Bok sedang bekerja syif lewat malam. Beliau baru kehilangan bapanya akibat kanser pada 5 November lalu.