Pakar gesa henti kait khurafat dengan rawatan tradisional Melayu

Pakar gesa henti kait khurafat dengan rawatan tradisional Melayu

Harun Mat Piah berkata, rawatan moden dan tradisional sebenarnya saling memerlukan serta melengkapi dalam proses penyembuhan sesetengah penyakit.

Harun Mat Piah menggesa masyarakat membuang stigma lama seperti gelaran 'bomoh', atau menyamakan rawatan tradisional kepada perbuatan karut.
Harun Mat Piah menggesa masyarakat membuang stigma lama seperti gelaran ‘bomoh’, atau menyamakan rawatan tradisional kepada perbuatan karut.
KUALA LUMPUR:
Perubatan tradisional Melayu terbantut dan semakin ketinggalan zaman disebabkan stigma masyarakat mengaitkan rawatan itu dengan perbuatan khurafat serta amalan bomoh.

Dr Harun Mat Piah yang merupakan pakar Kitab Tib – manuskrip perubatan Melayu silam, berharap masyarakat dapat melihat rawatan tradisional Melayu dalam konteks lebih luas, seperti perubatan moden.

“Mengaitkan perubatan Melayu dengan bomoh antara punca yang menjejaskan promosi perkembangan perubatan tradisional Melayu kerana orang masukkan stigma bomoh.

“Mereka akan fikir bomoh ini ada mantera, melibatkan jin dan hantu menyebabkan cara rawatan itu susah diterima masyarakat zaman sekarang,” katanya kepada FMT.

Beliau menggesa masyarakat membuang stigma lama dengan tidak memberi gelaran bomoh, dukun, pawang atau menyamakan rawatan tradisional kepada perbuatan karut dan khurafat.

“Jadi, pada masa sekarang perubatan Melayu ini kita kena murnikan, kita kena lihat benda ini positif yang boleh merapatkan hubungan…kita samakan mereka dengan doktor perubatan moden yang mungkin kita boleh panggil mereka tabib, perawat dan peramal.”

Kajian saintifik

Harun mencadangkan kajian saintifik dilakukan ke atas rawatan tradisional Melayu bagi memastikan keberkesanannya kerana ada pihak yang mendakwa ia lebih berkesan daripada perubatan moden.

Beliau memberi contoh urutan, jamu, amalan bertungku dan berbarut yang biasanya dilakukan ke atas ibu bersalin serta pesakit strok.

“Sama juga dengan gangguan halus, walaupun mereka yang membuat rawatan moden menyifatkan gangguan halus itu seperti kuman, tapi dalam tradisional ia kata jin, iblis. Jadi ada doa, bukan guna mantera sebab doa ada dalam Al-Quran dan hadis.”

Katanya, rawatan moden dan tradisional sebenarnya saling memerlukan serta melengkapi dalam proses penyembuhan sesetengah penyakit.

“Misalnya seseorang itu mengalami patah (kaki). Menerusi rawatan moden, pesakit akan disimen, selepas buka simen seseorang itu tidak boleh berjalan lagi, mereka masih lemah, jadi mereka mendapatkan rawatan tradisional Melayu seperti terapi, mandian, berjalan atas pasir.”

Beliau berkata demikian selepas membuat pembentangan mengenai konsep, falsafah ilmu dan amalan perubatan Melayu di Persidangan Antarabangsa Perubatan Melayu 2017 di Universiti Malaya, pada Rabu.

Persidangan itu bertujuan merealisasikan idea memartabatkan perubatan Melayu dalam pendidikan tinggi Malaysia setanding perubatan tradisional masyarakat lain.

Manuskrip perubatan Melayu

Harun turut menyarankan rawatan tradisional Melayu dikembangkan dengan mengangkat kembali manuskrip perubatan itu melalui penerbitan bagi memudahkan masyarakat merujuk dan memahaminya.

Manuskrip perubatan Melayu silam yang dikenali sebagai Kitab Tib mengandungi ilmu perubatan dan amat popular di zaman lampau kerana masyarakat Melayu menjadikannya panduan untuk mengubati pelbagai penyakit.

Ia antara lain merekodkan cara berubat menggunakan bahan semulajadi daripada alam flora dan fauna yang dicampur rempah-ratus.

Katanya, antara manuskrip yang pernah diterbitkan ialah berkaitan ilmu perkasihan untuk suami isteri yang merangkumi petua.

Produk Qu Puteh, D’herbs

Harun berkata, produk popular keluaran Qu Puteh dan D’Herbs Healthy Sdn Bhd boleh dikategorikan sebagai ubat tradisional Melayu, sekiranya ia bebas daripada bahan kimia dan 100% menggunakan bahan semulajadi.

“Kita boleh terima sebagai satu cabang perubatan Melayu, sebab dalam perubatan Melayu ada beberapa cabang meliputi penyakit, kesihatan, pemakanan, kecantikan dan kesejahteraan.

“Jadi, produk itu di bawah cabang kecantikan dengan syarat mereka guna ramuan tradisional dan prosesnya juga tradisional. Tapi, kalau campur bahan kimia, ia tidak tergolong dalam rawatan tradisional,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.