
PAC turut meminta KKM membuat pemantauan lebih ketat terhadap kerja dilakukan syarikat konsesi, sebelum mengesahkan tuntutan bayaran kepada semua hospital di seluruh negara, manakala syarikat konsesi pula perlu berintegriti dalam tuntutan mereka.
Itu antara cadangan dalam laporan PAC mengenai Pengurusan Perkhidmatan Penyenggaraan Kejuteraan Fasiliti (FEMS) di bawah KKM, yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Laporan PAC itu berdasarkan penemuan Jabatan Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara 2015 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen pada 21 November 2016.
Susulan itu, PAC mengadakan mesyuarat prosiding pada 7 Disember 2016 dengan memanggil Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Dr Chen Chaw Min bagi menjelaskan 3 isu dibangkitkan Jabatan Audit Negara.
Tiga isu itu adalah penyenggaraan berjadual tidak dilaksanakan, aset tiada di lokasi dan bayaran tidak dihentikan untuk aset yang tidak digunakan, rosak atau dilupuskan.
Pengerusi PAC, Datuk Seri Hasan Arifin dalam satu kenyataan hari ini berkata, jawatankuasa itu bersetuju dengan penambahbaikan KKM untuk memantapkan pengurusan FEMS di hospital kerajaan.
“Pada masa sama, PAC juga mahu KKM sentiasa memantau dengan lebih ketat penggunaan aset mudah alih di hospital.
“KKM perlu mempercepatkan pembangunan dan penggunaan sistem ASIS bagi membantu mempertingkatkan kerja-kerja pemantauan aset.”