
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari berkata, pengguna tidak perlu memberi maklumat betul ketika berdepan e-mel spam atau menerima panggilan telefon sedemikian.
“Apabila kita diminta langgan sesuatu, tidak semestinya kita harus bagi maklumat secara jujur.
“Boleh tipu sedikit untuk elakkan kejadian (ditipu) berlaku,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) di Dewan Rakyat, hari ini.
Ikmal mempersoalkan kesahihan dakwaan syarikat telekomunikasi menjual data peribadi dan sama ada sebarang tindakan diambil terhadap mereka.
Beliau juga menyoal bagaimana pihak tertentu boleh mendapat maklumat pengguna dan menghubungi mereka ke taklimat mengenai peluang pelaburan.
Jailani berkata, jenayah siber kini dilakukan sindiket yang terbabit dalam kegiatan menggodam, pencurian komputer riba atau telefon pintar serta panggilan dan e-mel spam.
“Jangan sewenang-wenangnya menekan pautan yang kita tidak pasti kesahihannya.”
Katanya, kadar penggunaan internet tahun ini meningkat kepada 89.3% berbanding 80% tahun lepas.
“Jumlah pengguna Facebook meningkat daripada 96.5% tahun lepas kepada 97.3% tahun ini, sementara itu pengguna Instagram meningkat daripada 46.7% kepada 56.1% dan Twitter daripada 26.5% kepada 26.6%.”
“Hasil kajian juga mendapati rakyat Malaysia menggunakan internet 4 jam sehari secara purata, dengan 15.5% daripada mereka berumur 19 tahun ke bawah.”
Beliau berkata, 3 kes sudah dibawa ke mahkamah setakat ini di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dan semuanya dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.
Akta itu bertujuan mengawal pemprosesan data peribadi dalam transaksi komersial.
Ia diguna pakai dalam pelbagai sektor dan industri utama negara yang menggunakan data seperti komunikasi, perbankan dan institusi kewangan, insurans, kesihatan, pengangkutan, pelancongan dan hospitaliti.
Di bawah akta itu, sebarang bentuk pendedahan data peribadi tanpa persetujuan pengguna data menerusi sebarang platform termasuk internet, adalah satu kesalahan.
Tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan tidak lebih 3 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.