Lelaki cuba serang balai polis Gopeng sambil laung takbir

Lelaki cuba serang balai polis Gopeng sambil laung takbir

Lelaki tersebut masuk ke dalam balai sambil melaungkan beberapa kali kalimah ‘Allahuakbar’ dan mengambil kerusi plastik sebelum mahu menyerang seorang anggota polis yang sedang bertugas.

balai-polis
KAMPAR: Polis Kampar menahan seorang penagih dadah berumur 42 tahun kerana melakukan perbuatan khianat di Balai Polis Gopeng, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Ng Kong Soon berkata, dalam kejadian kira-kira 10.50 pagi itu, lelaki berkenaan datang ke balai tersebut sebelum menendang pintu cermin premis sehingga pecah dan cuba menyerang anggota polis di kaunter aduan.

“Lelaki tersebut masuk ke dalam balai sambil melaungkan beberapa kali kalimah ‘Allahuakbar’ dan mengambil kerusi plastik sebelum mahu menyerang seorang anggota polis yang sedang bertugas ketika itu.

“Anggota polis itu kemudian cuba menangkap suspek sehingga berlaku pergelutan, sebelum suspek melarikan diri ke arah pintu belakang balai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ng berkata, suspek berjaya ditahan beberapa anggota polis dan kini dirawat di Hospital Kampar kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala, badan, tangan dan kaki akibat pergelutan semasa ditahan.

“Hasil saringan ujian air kencing mendapati suspek yang juga seorang penganggur positif dadah jenis syabu.

“Kejadian itu menyebabkan seorang anggota polis mengalami kecederaan di bahagian tangan, manakala balai polis kerugian hampir RM500,” katanya.

Ng berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.