Pindah bajet JPM, pertahanan untuk tambah bajet ubat, kata Charles

Pindah bajet JPM, pertahanan untuk tambah bajet ubat, kata Charles

Isu bekalan ubat boleh diselesaikan dengan memindahkan RM12.4 bilion yang diperuntukkan untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan RM8.3 bilion untuk Kementerian Pertahanan.

santiago
KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan harus memperuntukkan bajet tambahan RM20.7 bilion ringgit untuk sektor kesihatan bagi menangani isu bekalan ubat di klinik dan hospital kerajaan agar rakyat dapat membeli ubat-ubatan dengan harga berpatutan.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, masalah bekalan ubat boleh diselesaikan dengan memindahkan RM12.4 bilion peruntukkan untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan RM8.3 bilion untuk Kementerian Pertahanan.

“Ini akan memberi suntikan sebanyak RM20.7 bilion kepada peruntukan belanjawan Kementerian Kesihatan, sekaligus selaras dengan cadangan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

“Oleh itu, pemindahan dana untuk Kementerian Kesihatan ini membolehkan rakyat mempunyai wang yang cukup untuk mendapatkan akses ubat-ubatan dengan harga berpatutan,” tambahnya.

Sebelum ini, FMT melaporkan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Ravindran Naidu sebagai berkata keadaan ekonomi yang perlahan sejak 2 tahun kebelakangan ini mendorong pesakit mendapatkan rawatan di hospital dan klinik kerajaan.

Beliau berkata data menunjukkan jumlah pesakit meningkat 30% maka beliau menggesa bekalan ubat ditingkatkan kepada 30% bagi memenuhi keperluan itu.

Di pembentangan Bajet 2018, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan RM27 bilion diperuntukkan untuk sektor kesihatan, iaitu kenaikan sebanyak RM2 bilion berbanding tahun lalu.

Charles bagaimanapun berkata perbelanjaan untuk kesihatan hanya 4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), lebih rendah daripada Kemboja (5.7%) dan Vietnam (7.1%).

“Malaysia pula antara salah satu negara yang memiliki KDNK perbelanjaan kesihatan terendah di dunia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.